Ewon sambut baik penyertaan golongan profesional dan belia dalam koperasi

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan penyertaan golongan profesional, belia dan penjawat awam dalam koperasi.

Advertisements

Beliau berkata, ini penting sebagai penyumbang idea dan pandangan dalam memastikan gerakan koperasi terus berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.

“Saya amat yakin, dengan adanya penyertaan segenap lapisan masyarakat, ia dapat mencorak masa depan gerakan koperasi yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) Bersama CO-Op Bank Pertama (CBP) di Auditorium Angkasa Kelana Jaya, hari ini.

Ewon berkata, bagi menggalak dan memudahkan masyarakat menubuhkan koperasi, syarat penubuhan koperasi telah dilonggarkan.

“Justeru, saya menyeru pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi supaya sama-sama menyokong gerakan koperasi negara atau melibatkan diri dengan berkoperasi,” katanya.

Beliau juga berharap, lebih banyak koperasi ditubuhkan terutama dalam kalangan B40, OKU, miskin bandar, masyarakat luar bandar, pedalaman dan masyarakat orang asli/asal bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat.

Program MASKOP dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Co-op Bank Pertama (CBP) bertujuan memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.

“Sebelum ini, KUSKOP telah melaksanakan beberapa Program MASKOP dengan kerjasama SKM serta IKMa dan pada kali ini program ini dilaksanakan bersama CBP,” katanya.

Ewon berharap, melalui program ini mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Meskipun gerakan koperasi telah wujud lebih 100 tahun di negara ini, namun masih terdapat golongan masyarakat yang tidak cakna peranan koperasi dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membangunkan ekonomi negara.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab KUSKOP dan agensi berkaitan terutama SKM, IKMa dan ANGKASA untuk terus mempergiatkan aktiviti turun padang bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan konsep koperasi melalui Program Memasyarakatkan Koperasi,” katanya.
 
Ewon berkata, matlamat utama MASKOP adalah untuk memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.

“Dalam masa yang sama, program ini juga dijadikan sebagai satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles