Benarkah UPKO berada di persimpangan?

KOTA KINABALU: Benarkah UPKO, salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH), berada di persimpangan?

Jika kenyataan presiden UPKO Datuk Ewon Benedick sebelum ini yang sedia berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk mendapatkan restu agar parti itu diberi laluan bertanding kerusi DUN Limbahau pada pilihan raya akan datang (PRN) diambil sebagai perkiraan, UPKO berkemungkinan terpaksa menerima hakikat hanya dapat bertanding “sedikit” kerusi DUN.

Ramai pemerhati politik berpendapat, bukan mudah untuk UPKO mendapatkan lampu hijau untuk meletakkan calon di DUN Limbahau pada PRN akan datang jika PH memutuskan bekerjasama dengan GRS untuk bertarung bersama menentang kumpulan pembangkang peringkat negeri iaitu Warisan, BN dan KDM.

Menurut mereka, keputusan sama ada UPKO boleh bertanding kerusi DUN Limbahau pastinya dibuat di meja bulat melalui “proses rundingan” dengan rakan-rakan parti lain yang menganggotai GRS.

Persoalannya adakah penyandang Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim yang dikatakan “berpengaruh” di kawasan itu sedia melepaskan kerusi tersebut kepada UPKO pada PRN akan datang.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau, Datuk Johnny Mositun, yang juga naib presiden PBS, turut mengintai kerusi DUN itu.

Menurut penulis buku dan penganalisis politik tempatan Musli Oli, keadaan tidak menentu ini mungkin akan meletakkan UPKO dalam delima.

“Saya meramalkan peluang UPKO bertanding kerusi Limbahau 50-50 dengan mengambil kira sokongan akar umbi Datuk Juil yang dikatakan masih utuh.

“Bagaimanapun, politik Sabah amat dinamik dan sukar diramal. Hari ini kawan esok jadi lawan,” katanya kepada Jesselton Times.

Musli turut meramalkan UPKO dan PH pasti akan diberi peluang mempertahankan tujuh kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2020 sekiranya PH memilih bersama GRS mengharungi cabaran PRN akan datang.

Pada PRN yang lepas, UPKO hanya berjaya memenangi kerusi DUN Kadamaian menerusi pemimpin muda berkarisma Datuk Ewon Benedick.

“Dalam PRN akan datang, selain Kadamaian dan Limbahau, saya melihat UPKO boleh bersaing untuk mendapatkan kerusi DUN Bandau yang kini diwakili Datuk Wetrom Bahada, DUN Moyog (penyandang Datuk Darel Leiking), Melalap (penyandang Datuk Peter Anthony) dan beberapa kerusi lain yang kini diwakili bebas.

“Ini bermakna jumlah kerusi yang UPKO
bakal perolehi amat terhad dan mungkin tidak sampai 5 kerusi kerana terpaksa bersaing khususnya dengan Adun penyandang PBS dan STAR di kawasan yang majoriti pengundi Kadazandusun Murur,” katanya.

Menurut Musli, sekiranya UPKO atau PH memilih bertanding secara “bersendirian atau solo” dalam PRN akan datang, parti itu bebas menentukan sendiri jumlah kerusi yang ingin ditandingi.

“Tidak harianlah sekarang pun sudah mula kedengaran suara-suara di kedai kopi penyokong UPKO/PH yang suka melihat PH bertanding secara solo terlebih dahulu dan bergabung dengan parti-parti lain yang memperolehi kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Sabah.

“Ada juga penyokong PH yang tidak puas hati dengan proses pengagihan jawatan pentadbiran peringkat akar umbi yang pastinya diambil kira sebagai penemtu hala tuju politik PH/IPKO, di negeri ini,” katanya ketika mengulas delima PH/UPKO.

Ini merupakan ujian getir dan tugas berat bagi Datuk Ewon Benedick yang bakal mengemudi bahtera UPKO dalam mengharungi gelombang politik Sabah yang penuh dengan rintangan, khususnya PRN akan datang, katanya.

Musli berkata senario ini menggambarkan keunikan politik “aramati” Sabah yang penuh warna warni dan drama.

Apapun apa yang pasti “budaya buhangkot atau katak” kini hanya tinggal kenangan dengan lulusnya Undang-Undang Anti Lompat di DUN Sabah baru-baru ini, sekali gus menjadikan amat sukar bagi YB memperagakan ketangkasan berpolitik, termasuk melompat parti.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles