Kerajaan Negeri beri bantuan kewangan RM7.81 juta kepada 77 sekolah, badan keagamaan bukan Islam di Zon Pantai Barat Utara

KUDAT: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM54.05 juta dalam belanjawan tahun ini untuk disalurkan sebagai bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Advertisements

Daripada jumlah tersebut, RM23 juta diperuntukkan kepada sekolah-sekolah dan RM31.05 juta untuk badan-badan keagamaan bukan islam.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, dengan peruntukan tersebut, sebanyak 1,810 kelulusan bantuan kewangan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah-sekolah dan selebihnya iaitu 1,464 untuk badan-badan keagamaan.

“Jika dibandingkan dengan kelulusan pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,516, pada tahun ini terdapat penambahan sebanyak 294 kelulusan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada ahli jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat khusus dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan bantuan kewangan ini atas komitmen yang tinggi dan mantap sehingga hari ini,” katanya pada majlis penyerahan surat kelulusan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan islam tahun 2023 bagi Zon Pantai Barat Utara (Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas) yang diadakan di Dewan Basel, SJKC Lok Yuk Batu 1, di sini, hari ini.

Beliau turut menyampaikan surat kelulusan bantuan kepada 77 penerima yang melibatkan 450 kelulusan dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM7,81 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM2.52 juta diberikan kepada 46 buah sekolah, manakala RM4.88 juta kepada 394 buah gereja dan RM408,000 kepada 10 buah tokong.

Julita yang juga ADUN Matunggong berkata, Kerajaan Negeri senantiasa prihatin serta menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.

“Majlis ini begitu bermakna dan amat relevan, memandangkan institusi pendidikan seperti sekolah amat penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan, yang kemudiannya akan memacu pembangunan serta kemajuan negeri sebagai mana yang ditekankan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Pada masa yang sama, badan-badan keagamaan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi di kalangan masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, suku etnik dan agama.

“Semoga dengan sumbangan dan bantuan kewangan ini akan memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Saya menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai antara lain usaha Kerajaan Negeri, juga sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memperbaiki dan membangun sekolah serta rumah-rumah ibadat yang berkenaan agar keadaan sekolah dan rumah-rumah ibadat berada dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan,” katanya.

Julita turut memaklumkan bahawa permohonan bantuan kewangan tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024.

Katanya, sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, Kerajaan Negeri akan meningkatkan amaun bantuan ini.

Beliau juga memohon jasa baik sektor swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles