EL NIÑO BOLEH JEJASKAN BEKALAN MAKANAN DAN KESIHATAN RAKYAT, KESIAPSIAGAAN SABAH PERLU DIPERKUKUH: AHLI PARLIMEN TUARAN

KUALA LUMPUR:  Kesan fenomena El Niño tidak boleh dilihat hanya dari sudut kekurangan bekalan air, sebaliknya turut berpotensi menjejaskan sektor pertanian, penternakan, keterjaminan makanan, kesihatan awam serta meningkatkan risiko kebakaran hutan dan jerebu di Sabah.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen P.170 Tuaran, ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pengurangan taburan hujan dan cuaca panas berpanjangan boleh menjejaskan pengeluaran tanaman serta aktiviti penternakan, sekali gus memberi kesan langsung kepada pendapatan petani dan penternak serta harga makanan kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau meminta NRES memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan petani dan penternak, termasuk di Sabah, mendapat panduan serta bantuan lebih awal sebelum kerugian berlaku.

“Apabila air tidak mencukupi, tanaman dan ternakan boleh terjejas. Petani kehilangan pendapatan, manakala pengguna pula mungkin berdepan kenaikan harga makanan. Kita perlu bertindak sebelum kesan ini berlaku,” katanya.

Madius turut memberi perhatian kepada risiko kesihatan akibat cuaca panas, khususnya kepada golongan warga emas, murid sekolah dan mereka yang bekerja di kawasan terbuka.

Beliau meminta kerajaan memperjelas langkah perlindungan kesihatan melalui kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, termasuk memastikan amaran cuaca serta panduan keselamatan dapat disampaikan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang mempunyai akses internet terhad.

Dalam aspek pencegahan kebakaran hutan, beliau meminta penjelasan mengenai peruntukan latihan dan kesiapsiagaan pasukan di Sabah, termasuk usaha memantau kawasan hutan serta tanah gambut yang berisiko tinggi mengalami kebakaran.

Katanya, tindakan pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan kemungkinan kebakaran besar yang boleh mencetuskan jerebu dan menjejaskan kesihatan serta aktiviti ekonomi penduduk.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau dengan negara jiran dalam menangani ancaman jerebu rentas sempadan.

Madius berkata, kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim memerlukan pendekatan menyeluruh dan penyelarasan antara kementerian, kerajaan negeri serta agensi pelaksana.

Beliau mahu kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi langkah kesiapsiagaan dan penyesuaian perubahan iklim, termasuk keperluan Sabah, serta menetapkan tanggungjawab setiap agensi dengan jelas.

“Kita tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu bencana berlaku. Petani, penternak, sekolah, klinik dan masyarakat yang terdedah kepada cuaca panas perlu dilindungi melalui persediaan yang terancang.

“Melindungi rakyat daripada kesan perubahan iklim bukan sekadar soal pengurusan bencana, tetapi tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles