GUANGZHOU: Kerajaan Sabah kini giat meneroka potensi kerjasama strategik yang lebih luas dengan wilayah Guangzhou, China, terutama dalam sektor pertanian.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Datuk Jamawi Jaafar berkata langkah itu penting bagi memacu pembangunan pertanian ke tahap yang lebih baik di Sabah.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan sokongan penuh kepada usaha Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah pimpinan Datuk Dexter Lau yang telah mengatur dengan baik program berstruktur yang mempertemukan usahawan dari Sabah dengan usahawan atau ahli perniagaan di Guangzhou, terutama mereka yang aktif dalam sektor pertanian.
“Lebih kurang 120 delegasi dari MCCC Sabah datang ke sini dan tujuannya ialah memberi dan mencari peluang bekerjasama (dengan usahawan) di China dalam sektor pertanian, terutama di Guangzhou.
“Saya juga difahamkan ramai lagi masyarakat peniaga China dari bandar-bandar lain alan datang (untuk menyertai sesi pertemuan dengan delegasi MCCC Sabah),” katanya.
Jamawi berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di sini malam ini.
“Inilah tujuan kita untuk mencari lebih banyak peluang dan juga bekerjasama dalam memajukan sektor pertanian di Sabah.
“Besok kita akan melawat hab pertanian dan juga perikanan. .dua bidang yang saya rasakan perlu untuk kita kembangkan di Sabah,” katanya.
Datuk Dexter berkata ini merupakan delegasi terbesar dari Sabah pernah dilaksanakan di Guangzhou.
Katanya delegasi kira-kira 120 orang itu dijadual bertemu dengan kira-kira 400 usahawan dan pemain industri, termasuk presiden dan pengerusi dewan-dewan perniagaan dari pelbagai wilayah China.
Sambil memuji kepimpinan Jamawi dalam membantukan sektor pertanian di Sabah, Datuk Dexter optimis misi perdagangan yang dipelopori MCCC Sabah itu akan membuahkan hasil.
Terdahulu ketibaan delegasi Sabah di hotel penginapan diberikan sambutan meriah dengan kibaran jalur gemilang dan bendera Sabah.
