RHB Islamic sedia RM1 Juta perkasa usahawan asnaf, B40 melalui Program BEST-BYOB 2024 Pernas

KUALA LUMPUR: RHB Islamic Bank dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk menjayakan Program BEST Be Your Own Boss (BYOB) 2024 yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Advertisements

Program itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, program edisi kedua itu mensasarkan 100 peserta daripada golongan asnaf, B40 dan pelajar universiti.

“Pernas iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diberi mandat memperkasa usahawan francais akan mengenalpasti, menyediakan padanan perniagaan, latihan berstruktur, pemantauan dan bimbingan kepada para peserta program.

“Sebanyak 22 jenama di bawah Program Business In Transformation (BIT) Pernas terlibat dalam usaha sama ini antaranya jenama-jenama seperti Old Time Sengkuang, Monti Keopi, Tisha’s, Zie Putu Perak, Keropok Getel dan KUHOT dengan anggaran pakej bermula daripada RM5,000 sehingga RM25,000.

“Pelaksanaan program ini dilihat dapat membantu mendukung misi KUSKOP menyediakan platform, khidmat sokongan, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Dato’ Adissadikin Ali dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) Mazlan Ibrahim.

Ewon berkata, pelancaran Porgram BEST-BYOB 2024 membuktikan dedikasi agensi di bawah kementerian seperti Pernas membantu golongan asnaf dan B40 menceburi bidang perniagaan francais dan pra-francais melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak. 

“Pelaksanaan program BEST BYOB juga selaras dengan Pelan Strategik 2023 KUSKOP dalam menyediakan ekosistem yang kondusif, meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan,” katanya

Beliau berkata antara objektif pelaksanaan program BEST BYOB ialah meningkatkan taraf hidup golongan sasaran, membuka peluang keusahawanan sebagai usahawan pra-francaisi Program Business In Transformation (BIT) Pernas dan menghubungkan usahawan pra-francaisor dan pra-francaisi program BIT melalui penggunaan sistem SME Solution di bawah seliaan RHB Islamic Bank.

Katanya, dalam edisi pertama, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk melatih seramai 42 peserta yang terdiri daripada asnaf.

“Edisi pertama program ini dilaksanakan pada 1 April 2022 sehingga 1 April 2023. Daripada 42 peserta itu 30 orang telah menjalankan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman.

“Selepas menyertai program itu, mereka berjaya meningkatkan pendapatan bulanan. Misalnya usahawan BIT Pra-Francaisi, pendapatan bulanan meningkat daripada RM8,500, sebulan kepada purata pendapatan RM14,000 sehingga RM17,000 sebulan.

“Kementerian akan terus menyokong usaha pelbagai pihak dalam melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles