KOTA KINABALU : Sukan adalah platform tepat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama seperti di negara ini.
Focal person Kebangsaan Kementerian Pendidikan bagi Kumpulan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta di Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata program yang boleh memupuk keharmonian kaum
seperti Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia (AMal) perlu dipergiatkan bagi memastikan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini, kekal terpelihara dan terus dipertahankan.
AMal adalah program yang telah disenaraikan kerajaan sebagai satu daripada program tahunan bagi kesemua AMal bermula pada 2022.
Ia satu daripada medium bagi mencapai objektif penubuhan Asrama Malaysia iaitu menerapkan nilai-nilai perpaduan serta membantu murid-murid merealisasikan dan memperkasakan perpaduan antara kaum.
Program itu menyediakan peluang kepada murid-murid dari pelbagai kaum dan agama yang datang dari seluruh pelusuk negara untuk bekerjasama dan saling memahami antara satu sama lain, sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.
Mohammad Arif yang ditemui di majlis penutupan Majlis penutupan Sukan Perpaduan AMal di Dewan Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini berkata program ini juga bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memacu pembangunan negara melalui konsep dan pendekatan perpaduan dalam kepelbagaian.
Seramai 127 orang pelajar dari 12 kontinjen yang terdiri daripada AMal Negeri Sabah, Sarawak, Johor, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor menyertai program peringkat kebangsaan yang berlangsung selama 5 hari di Kota Kinabalu, bermula 25 Julai sehingga 29 Julai lalu.
Majlis penutupan Sukan Perpaduan AMal disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),
Azman Adnan.