PEMBANGUNAN POIC LAHAD DATU PERLU LIBATKAN SYARIKAT TEMPATAN – MADIUS

KUALA LUMPUR: Pembangunan industri hiliran di POIC Lahad Datu perlu memastikan syarikat tempatan, pengusaha industri dan institusi pelaburan Sabah turut mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan baharu.

Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata pembangunan kawasan perindustrian berkenaan perlu membuka ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, institusi pelaburan negeri, pengusaha kilang kelapa sawit serta syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri.

Menurutnya, pelabur antarabangsa pula perlu membawa masuk teknologi, kepakaran dan akses pasaran yang dapat memperkukuh keupayaan industri tempatan.

“Pembangunan ini mesti membuka ruang kepada GLC Sabah, institusi pelaburan negeri, pengusaha kilang kelapa sawit dan syarikat tempatan.

“Pelabur antarabangsa perlu membawa masuk teknologi, kepakaran dan pasaran, sementara syarikat Sabah turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Madius berkata Sabah mempunyai sumber, kawasan perindustrian, pelabuhan dan kedudukan strategik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan sektor perindustrian negeri.

Bagaimanapun, katanya, usaha berkenaan memerlukan tindakan tersusun dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata pembangunan 75 ekar pertama POIC Lahad Datu sebagai Zon Perindustrian Bebas berpotensi menjadi pemangkin kepada penghasilan produk bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan pewujudan pekerjaan mahir.

“Sabah tidak seharusnya selama-lamanya menjadi pembekal bahan mentah. Kita mempunyai sumber, kawasan perindustrian, pelabuhan dan kedudukan strategik. Yang diperlukan sekarang ialah tindakan tersusun dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berharap pembangunan berkenaan dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas dan peningkatan nilai tambah untuk rakyat Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles