TAWAU : Lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tawau di perairan Pulau Sebatik di sini, lewat petang Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur 2/13, Ops Sejahtera 1/22 dan Ops Tiris di kawasan operasi telah mengesan dua bot jongkong yang dipercayai sedang melakukan aktiviti memetik rumpai laut di perairan berkenaan.
Pemeriksaan mendapati bot jongkong terbabit masing-masing dikendalikan oleh seorang juragan bersama tiga orang pekerja lelaki berusia antara 18 hingga 41 tahun dan dipercayai warga Indonesia.
Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kedua-dua bot jongkong, enjin bot dan barangan peribadi disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM50,000.
Shahrizan menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) menerusi kerjasama dengan agensi lain bagi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
“Maritim Malaysia turut menggesa orang ramai khususnya komuniti maritim untuk turut sama membantu agensi ini dengan menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.