KUCHING,: Konsep Malaysia Madani yang diketengahkan kerajaan wajar dihayati segenap lapisan masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama di negara ini.
Menyahut cabaran Madani untuk memantapkan lagi perpaduan dan silang budaya di Malaysia, kumpulan koir Send The Light dari Inanam, Sabah mengambil inisiatif untuk melakukan lawatan tiga hari ke Bumi Kenyalang Sarawak.
Ketua rombongan, Nirona Newmond berkata program itu, antara lain, bertujuan menyemai semangat cintakan negara, mengenali budaya bangsa lain dan hidup secara harmoni.
Menurutnya seramai 60 angggota koir Send The Light bersama keluarga menyertai program silang budaya itu.
Antara destinasi yang dilawati ialah muzium negeri di Kuching, mengunjungi rakan seiman masyarakat Bidayuh di Kampung Sigandar, Padawan dan SDA Church Batu Kawa.
Nirona berkata anggota kumpulan Send The Light turut mengadakan perlawanan persahabatan badminton dan futsal dengan anggota SDA Batu Kawa.
Ketua SDA Church Batu Kawa, Wicklem Polycarp berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kumpulan Send The Light melakukan lawatan muhibah ke Sarawak, termasuk SDA Church Batu Kawa.
“Kami gembira menerima lawatan kumpulan koir dari SDA Church Kitobu, Inanam ke sini (Sarawak) dan berharap kunjungan ini dapat merintis jalan untuk mengeratkan lagi hubungan anggota seiman Sarawak dan Sabah,” katanya.