Ewon lancar tiga program KUSKOP untuk usahawan dan koperasi di Sabah

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan tiga program untuk pembangunan usahawan dan koperasi di negeri ini.

Advertisements

Program-program itu ialah Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) Tahun 2023; Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Program Pembiayaan BRTani.

Ewon percaya program-program itu akan memberi manfaat kepada ramai usahawan dan bakal usahawan serta koperasi di Sabah.

Beliau berkata, pada tahun ini Program TUBE akan mula dibuka mulai 7 Mei hingga 31 Mei ini.

“Program Pembiayaan BRTani di bawah Bank Rakyat pula menyediakan pembiayaan khusus untuk membantu usahawan industri makanan dan pertanian meningkatkan pengeluaran agromakanan negara.

“Produk BRTani ini akan memfokuskan keperluan usahawan yang memerlukan perbelanjaan modal, modal kerja dan pembangunan projek agromakanan dan dibuka untuk semua usahawan dan koperasi yang berkelayakan dan menepati kriteria.

“Oleh itu saya menyeru agar usahawan Sabah mengambil peluang dengan memohon atau menyertai program-program TUBE, BEEP dan BRTani yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Madani anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sempena sambutan Pesta Kaamatan, di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Datuk Jahid Jahim, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kuskop Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua agensi dan pegawai-pegawai kanan Kuskop.

Ewon berkata, Program TUBE di bawah SME Corp. Malaysia diperkenalkan pada 2014, menyediakan latihan dan geran kepada golongan belia yang ingin memulakan perniagaan.

“Sehingga kini, sebanyak 10 siri latihan TUBE berjaya dilaksanakan dengan melibatkan seramai 7,183 belia Bumiputera di mana 97 peratus daripada mereka berjaya memulakan operasi perniagaan masing-masing dengan jualan terkumpul berjumlah RM151.09 juta.

“Setakat ini, seramai 1,196 belia dilatih dengan nilai geran disalurkan berjumlah RM16.31 juta bagi Negeri Sabah, iaitu negeri yang mempunyai peserta TUBE yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Ini membuktikan belia di Sabah amat berminat dalam bidang keusahawan dan berpotensi menjana pendapatan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, Program BEEP di bawah SME Corp. Malaysia diperkenalkan pada tahun 2021.

“Sejumlah 518 permohonan Program BEEP telah diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM58.22 juta. Daripada jumlah kelulusan tersebut, sebanyak 15 permohonan berjumlah RM1.41 juta diterima oleh PMKS dari Negeri Sabah. Program ini terbuka untuk usahawan yang berkelayakan,” katanya.

Mengenai program itu, Ewon berkata ia julung kali dianjurkan oleh KUSKOP dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena sambutan Pesta Kaamatan.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam membantu usahawan di samping merayakan sambutan bulan Pesta Kaamatan yang merupakan perayaan utama di Sabah dan Hari Raya Aidilfitri yang baharu diraikan di seluruh negara.

“Ia juga bagi menyahut hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan “kesejAhteraan di bawah kerangka visi Malaysia MADANI,” katanya.

Sepanjang dua hari penganjurannya, KUSKOP turut menyediakan reruai pameran agensi bagi memberi peluang kepada komuniti usahawan dan koperasi serta masyarakat tempatan mendapatkan maklumat berkaitan latihan, bimbingan, pembiayaan dan pemasaran serta pelbagai lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kementerian/ agensi berkaitan.

Selain itu, reruai jualan usahawan dan koperasi tempatan turut disediakan bagi memeriahkan lagi program ini.

Ewon berkata, bagi menyahut seruan kerajaan dalam menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, KUSKOP melalui SKM turut mengadakan Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan harga murah iaitu kadar penjimatan sekitar 10 hingga 15 peratus daripada harga pasaran.

“Barangan keperluan asas itu ialah gula, tepung, minyak masak, produk-produk koperasi serta barangan keperluan yang lain,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles