KOTA KINABALU, Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menawarkan diri bertanding bagi mengekalkan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu bermula bulan depan.
Dalam hantaran terbaharu di Facebooknya, Rosnah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu.
“Pada 21 Februari 2023 saya telah menyerahkan Borang Pencalonan untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia mempertahankn jawatan yang saya sandang sejak 2013 dan sebelumnya sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia.
“Mohon Doa, restu dan sokongan segenap lapisan pimpinan UMNO seluruh negara,” katanya.
Rosnah turut mengajak ahli UMNO untuk
memperkasakan parti itu agar kembali menjadi payung utama melindungi Agama, Bangsa dan Tanah Air.
Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat, akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.