KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menghargai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan pelbagai pengumuman dibuat dalam tempoh kurang 100 hari menerajui pemerintahan negara.
Beliau mengambil contoh beberapa pengiktirafan yang dizahirkan Kerajaan Pusat untuk kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.
Dalam konteks Sabah, beliau merujuk pengiktirafan Jabatan Teknik kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jabatan Pengairan Sabah yang membolehkan agensi-agensi ini menguruskan projek pembangunan Persekutuan sehingga nilai RM50 juta.
“Mewakili suara orang Sabah dan Sarawak, saya ini menyatakan rasa teruja dan menghargai komitmen Perdana Menteri yang sejak dari awal menzahirkan kesungguhan pentadbiran beliau dalam isu-isu berkaitan MA63.,” katanya ketika perbahasan ke atas Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, kelmarin.
Matbali juga mengalu-alukan pengukuhan platform perundingan MA63 yang kini dinamakan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
“Untuk memastikan fungsi Majlis ini, adalah diharapkan Kerajaan dapat mencerakinkan apakah perbezaan, strategi dan pendekatan Majlis ini berbanding platform-platform perundingan yang wujud sebelum ini.
“Ia bagi memastikan hasrat rakyat Sabah sejak sekian lama untuk melihat penyelesaian isu-isu tertangguh berhubung MA63 dapat direalisasikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik hasrat Yang di-Pertuan Agong memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo, untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di pedalaman Sarawak dan Sabah.
Katanya, Sipitang merupakan titik permulaan projek Lebuhraya Pan-Borneo jajaran Sabah, dan pintu masuk utama sempadan Sarawak serta sempadan Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
“Kami menantikan penuh semangat kembara jelajah Borneo oleh Seri Paduka, semoga nantinya ia juga mencetuskan semangat bagi pelaksana projek Lebuhraya Pan Borneo mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan status terkini pelaksanaan keseluruhan pakej projek Lebuhraya Pan Borneo jajaran Sabah.
“Ini kerana secara fizikalnya pelaksanaan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo jajaran Sarawak sudah lebih jauh mendahului berbanding kami di negeri Sabah.
“Malahan, jika tidak tersilap fakta, tender bagi sebahagian pakej jajaran Sabah masih belum dianugerahkan lagi,” katanya.