POIC PORT MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG MAMPU JIMATKAN PERBELANJAAN KERAJAAN – ADUN TAMPARULI

KOTA KINABALU: POIC Port Lahad Datu mempunyai kelebihan semula jadi yang mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dalam jangka panjang.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tamparuli) berkata, satu kelebihan terbesar POIC Port ialah ia merupakan sebuah pelabuhan air dalam semula jadi yang membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh tanpa memerlukan kerja-kerja pengorekan dasar laut secara berterusan.

“Setiap tahun sejumlah besar wang perlu dibelanjakan untuk mengorek kelodak, mendalamkan alur pelayaran dan mengurus pembentukan sand bar di pelabuhan-pelabuhan tertentu, berbeza dengan POIC Port yang dikurniakan kelebihan semula jadi tersebut.

“Kelebihan ini bukan sahaja memberikan kelebihan operasi kepada pelabuhan, malah menjimatkan perbelanjaan Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, menurut Madius Kerajaan wajar menggariskan strategi bagi memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menarik lebih banyak industri berat, industri hiliran, hab logistik dan pelaburan antarabangsa ke Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd. menegaskan, POIC bukan sekadar sebuah pelabuhan tetapi dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem perindustrian yang menghubungkan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, pelabur dan rantaian bekalan global.

“POIC Port merupakan antara aset strategik Sabah yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya sambil menyatakakan sokongan Rang Undang-Undang berkenaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles