RANAU: Seramai 46,603 individu yang ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) diisytiharkan muflis sejak 2018 sehingga Jun lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata setakat Jun lalu, jumlah kes kebangkrapan yang ditadbir MDI ialah 273,869.
Beliau berkata di Sabah sahaja jumlah kes kebangkrapan ialah 8,738.
Menyedari jumlah kes kebangkrapan yang tinggi, katanya MDI telah mengadakan program turun padang atau outreach bagi memberi penerangan mengenai peranan MDI membantu orang ramai keluar daripada masalah kebankrapan.
Jonathan berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Outreach MDI di Pentas Terbuka Kundasang, dekat sini hari ini.
Beliau berkata program itu antara lain bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat bahawa MDI sentiasa bersedia membantu mereka yang bermasalah khususnya mereka yang diisytihar bangkrap.
Katanya rata rata penduduk kampung tidak mengetahui peranan MDI yang sentiasa bersedia menolong mereka yang sudah diisytihar bangkrap.