Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO bahagian Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Haji Aching berkata, tidak ada sebab bagi Umno menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh parti itu kepada parti lain termasuk BERSATU untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Katanya UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), walaupun ada pihak termasuk BERSATU menuntut akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyat parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, dalam kenyataan medianya pada rabu lepas berkata, BERSATU akan mempertahankan enam kerusi iaitu Sipitang.Beluran Libaran ,Kudat, Ranau termasuk Beaufort yang didakwa sebagai kerusi BERSATU pada PRU Ke-15 akan datang
Menurut Siti Aminah perlu diingat enam kerusi yang dimaksudkan sebelum ini diwakili oleh Umno dan mereka yang bertanding dan mencapai kemenangan adalah atas tiket dan sokongan ahli Umno, bagaimana pun mereka kemudiannya mengambil tindakan menyertai BERSATU walaupun tidak mendapat restu dari ahli dan rakyat di peringkat umbi.
“Tidak ada sebab kami menyerahkan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO ini kepada parti lain pada PRU ke-15, ketetapan ini bukan hanya oleh Majlis Kerja tertinggi (MKT) UMNO, tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15,” katanya sebagai mengulas kenyataan media Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun pada rabu lepas yang menegaskan parti berkenaan akan mempertahankan Kerusi di enam kawasan pada PRU Ke-15 akan datang.
Menurut Siti Aminah UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama, namun menyedari ia adalah lumrah sebuah negara demokrasi.
Bagaimanapun, Siti Aminah berkata kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus sesekali diperkecilkan..
“UMNO parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.
“Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Umno Bahagian Sipitang Abdul Rahman Mohd Noh ketika dihubungi berkata,UMNO bahagian itu juga akan mempertahankan kerusi di kawasan tersebut yang dimenangi atas tiket UMNO sebelum ini.
Katanya, tidak ada alasan bagi parti itu menyerahkan kepada parti lain untuk bertanding di kawasan tersebut kerana umum mengtahui kerusi di kawasan tersebut sebelum ini dimiliki oleh UMNO dan demi maruah parti ianya perlu dipertahankan pada PRU Ke-15 akan datang.
“ Kita telah bergerak dan mengatifkan sebanyak 30 buah kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera parti kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU Ke-15 akan datang,
“Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU15,” katanya.