KOTA KINABALU: Jika jaminan terbaharu
Perikatan Nasional (PN) yang terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diambil sebagai perkiraan, kerajaan pusat sedia ada dilhat masih mantap dan kukuh.
Dengan perkembangan mutakhir itu, semakin sukar untuk meramalkan ‘bilakah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan atau Parlimen dibubarkan’.
Sebelum ini, ramai pemerhati politik menjangka PRU15 bakal diadakan tahun ini dan terdapat juga yang meramalkan PRU15 diadakan tahun depan.
Desas desus PRU15 berkemungkinan diadakan seawal Oktober ini mula menjadi bualan orang ramai sebaik sahaja Perdana Menteri dua hari lepas membayangkan kerajaan pimpinannya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, sekiranya PN berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.
Namun, jaminan sokongan berterusan yang diberikan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Ahad itu pastinya memberi kelegaan dan gambaran positif terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri, sekali gus membayangkan tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
“Tempoh mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tamat pada Mei tahun depan, jadi sehingga kini kita memberikan komitmen untuk terus menyokong Perdana Menteri (Ismail Sabri) dan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara berkekalan sehingga PRU yang akan dipanggil (diumumkan),” kata Ronald yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN dan anggota Parlimen Beluran, Sabah.
Bagaimanapun, terdapat pemerhati politik yang optimis PRU15 diadakan tahun ini.
Menurut mereka kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dijangka menjadi indikator PRU-15 bakal diadakan tahun ini.
Jangkaan itu disuarakan antaranya penganalisis politik dan geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hassan.
“Ramai menjangkakan kemungkinan PRU-15 akan berlangsung dan tiada lagi PRN, kerana sebelum ini kita memikirkan mungkin ada PRN sama ada di Kedah atau Perak. Namun susulan kemenangan besar BN di Johor, kemungkinan selepas ini adalah PRU pula,” Dr Azmi dipetik sebagai berkata demikian di portal Berita Harian baru-baru ini.
Ramalan itu senada dengan pandangan yang diutarakan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
Baru-baru ini, Najib dipetik sebagai berkata bahawa parti itu akan berdepan risiko jika masih menangguhkan pembubaran Parlimen.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa member pandangan yang berbeza dan menegaskan kerajaan pimpinan Ismail Sabri merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang.
Justeru, Annuar dipetik sebagai berkata bahawa tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik dimeterai di antara koalisi itu dan kerajaan yang berakhir Julai lepas belum pasti akan mencetuskan pelaksanaan PRU15 tahun ini.
Nyata sekali, Perdana Menteri perlu mengambil kira banyak faktor sebelum menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.
Sehingga Perdana Menteri mendapat ilham untuk meminta Parlimen dibubarkan, teka teki PRU15 akan terus menjadi bualan orang ramai, termasuk di sesi “kupi-kupi dan aramati”.