KOTA KINABALU : Lebih 70 belia menyertai Program Pelayanan Digital Belia peringkat Kota Kinabalu yang berlangsung di sini selama dua hari bermula 6 Ogos.
Penyelaras Pelayanan Digital Belia peringkat Kota Kinabalu, Nirona Newmond berkata program ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang baik dalam kalangan belia serta memberi latihan kondusif mengenai penggunaan telefon pintar dan media sosial secara sihat dan berintegriti.
Antara pengisian program itu ialah pengenalan kepada Asas Peralatan Media, Asas Fotografi & Videografi mengguna telefon bimbit, Perbincangan dalam kumpulan dan Penggunaan Aplikasi Canva serta Streamyard.
“Apa yang kami tekankan dalam program ini adalah belia dibimbing supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan memperkasa kemahiran menggunakan media sosial dengan memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat, pemasaran dan perniagaan digital.
“Kita mahu belia yang serba boleh bagi memudahkan mereka berdepan dengan kemajuan ICT dan globalisasi”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nirona berkata program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancangkan untuk dilaksanakan tahun ini untuk pembangunan belia advent.
Menurutnya, pihaknya merancang beberapa lagi program belia dalam tahun ini khususnya yang membabitkan belia di daerah ini.
Antara program yang dirancang ialah bual bicara belia secara dalam talian yang berterusan dan mengadakan lawatan sambil belajar di tempat yang akan ditentukan kemudian.
Nirona menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua para belia di daerah ini yang menjayakan program ini.
Beliau berharap para belia akan terus memberi sokongan kepada program-program yang akan dilaksanakan akan datang.
Nirona turut mengucapkan terima kasih kepada para penaja program itu termasuk wakil rakyat Inanam, Peto Galim dan pihak Seventh-day Adventist Mission of Sabah.