PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pemain-pemain industri penternakan ayam bagi membincangkan isu berkaitan dengan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran.
Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini berkata ini adalah susulan keputusan Kerajaan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini supaya harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.
“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan Kerajaan demi menjaga kepentingan
Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperolehi dengan harga kawalan yang berpatutan,” katanya.
Bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan Jun 2022 dan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.
Ronald menambah Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang pada hari Isnin, 27 Jun 2022 bagi terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.
Justeru, katanya, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan
bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.