Aktiviti Sukan Lahirkan Modal Insan Berkualiti – Jahid

240

 

TAMPARULI: Aktiviti sukan di sekolah mampu melahirkan modal insan berkualiti serta memiliki semangat juang sebagai pemimpin pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kegiatan sukan juga mampu membentuk minda pelajar untuk menjadi lebih berdaya saing.

“Aktiviti sukan di sekolah bukan sahaja dapat melahirkan murid yang sihat dari segi fizikalnya, tetapi juga memiliki minda yang cerdas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Kali Ke-57, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengetua Cemerlang Mozidah Hamzah, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Katanya, sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas dari segi fizikal dan mental, malah sebelum bermulanya kejohanan tersebut, sudah pasti diadakan sesi pemilihan dan latihan yang menuntut kekuatan peserta sebelum bertanding sesama mereka.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal dan emosi, sudah pasti mampu membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

Beliau juga percaya semua pelajar yang terlibat sukan tahu untuk mengagihkan masa di antara kegiatan kokurikulum dan akademik.

Terdahulu, Mozidah berkata, di samping aktif dalam kokurikulum sama ada sukan atau unit beruniform, tetapi akademik haruslah tidak diabaikan oleh pelajar.

Jahid yang juga merupakan bekas pelajar SMK Tamparuli sekitar tahun 1972 hingga 1974, menerima tabik hormat oleh barisan kontinjen perbarisan sempena sukan tersebut.

Antara pengisian sepanjang majlis perasmian tersebut adalah upacara nyalaan obor kejohanan, bacaan ikrar, acara persembahan oleh kelab seni mempertahankan diri Pencak Silat, Taekwondo dan Seni Budaya SMK Tamparuli.