Tabung Pendidikan Negeri Sabah akan dilancarkan bulan depan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bulan depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, penubuhan TPNS itu bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.
“Kerajaan negeri telah menubuhkan TPNS yang akan dilancarkan pada bulan depan. Penubuhan TPNS adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.
“Usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Isnin.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2021 meluluskan usul sebulat suara Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk Pendidikan di Sabah. Enakmen tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.
Ketua Menteri, berkata beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Ini termasuklah menyumbang sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam di Sabah. Dalam Belanjawan Sabah 2022, kerajaan turut memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang melibatkan 289,204 murid dengan peruntukkan sebanyak RM13.9 juta.
“Kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan lagi dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM17.5 juta,” katanya sambil menambah seramai 5,000 pelajar telah mendapat bantuan BUDI dan seramai 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada tahun lalu.
Selain itu katanya, kerajaan negeri telah memperkenalkan bantuan dana bagi lebih 1,500 PIBG sekolah di Sabah dalam inisiatif yang dinamakan BAGUS dan bantuan bagi peralatan komputer di sekolah-sekolah yang dinamakan BISBAH.
“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di negeri ini, dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan untuk badan agama bukan Islam serta untuk sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di Sabah pada tahun ini. Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri meminta semua warga pendidik di Sabah diminta agar terus menjadi tonggak yang kukuh dalam melahirkan kemenjadian murid dan menyokong kepada membina Sabah Maju Jaya melalui sistem pendidikan yang sejahtera serta berkualiti.
“Sejajar dengan tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, kerajaan yakin dan percaya bahawa dengan adanya guru yang berkualiti tinggi baharulah bangsa dan negara mencapai kecemerlangan serta kegemilangan,” katanya.
Hajiji juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik di negeri Sabah yang berjaya menggalas tugas mencabar sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Datin Seri Panglima Datuk Dr Hajah Nuinda Hj Alias manakala Anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Hj Madaile Hj Basri.
Beliau juga melancarkan Buku Tawag Tokoh Guru Sabah yang diterbitkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Haji Alamin; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Puan Tah Nia Jaman.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles