Ewon komited bantu Pasukan Bomba Sukarela Kiau

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Ewon Benedick akan terus menyokong program-program anjuran Pasukan Bomba Sukarela Kiau yang berperanan penting sebagai barisan hadapan jika berlaku sesuatu kebakaran di kampung.

Advertisements

Beliau yang juga penaung pasukan itu berkata, Bomba Sukarela Kiau yang diwujudkan sejak 11 tahun yang lalu berperanan membantu memberikan khidmat nasihat kepada masyarakat setempat mengenai bahaya kebakaran dan langkah pencegahan kebakaran.

“Terima kasih kepada Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Belud atas taklimat dan latihan yang diberikan pada hari ini. Ia amat bermakna sebagai persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti kemalangan, kebakaran dan sebagainya.

“Memandangkan Kampung Kiau jauh daripada Balai Bomba Kota Belud, maka peranan Pasukan Bomba Sukarela di kampung ini amat penting untuk mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan bantuan daripada pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Ceramah Pencegahan Kebakaran, Kepentingan Alat Pemadam Api dan Keselamatan Penggunaan Gas, anjuran Pasukan Bomba Sukarela Kiau, Kelab ATV Kiau dan Gompito dengan kerjasama JBPM Kota Belud, di Dewan SK Kiau 1, di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Balai Bomba Kota Belud Mohammad Syazwan Latun, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Kiau Jeffrey Mudi, Yang Dipertua Gompito Justin Dalansu, Pengerusi Kelab ATV Kiau Zeno Philip dan Penyelaras Program Liam Sumbin.

Ewon turut menyeru penduduk Kiau terutamanya golongan belia supaya menyertai Pasukan Bomba Sukarela Kiau bagi mengukuhkan lagi pasukan itu. Setakat ini pasukan itu mempunyai kira-kira 60 ahli.

Program sehari itu disertai seramai 70 peserta. Selain ceramah, pegawai JPBM turut menunjukkan cara memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan alat pemadam api kepada enam buah gereja iaitu gereja RC dan SIB di Kampung Kiau Teburi, Kiau Nuluh dan Kiau Tomodu.

Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai sejumlah RM20,000 kepada UPKO Kg.Kiau Bersatu, Kiau Teburi, Kiau Nuluh dan UPKO Kg.Kiau Tugarangon.

Bagi memenuhi keperluan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kiau, Ewon menyampaikan sumbangan RM5,000 dan RM2,000 lagi untuk menyiapkan pembaikan jalan pertanian Daradaat Kiau Taburi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles