TUARAN: Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau percaya ramai rakyat Sabah yang kecewa dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji untuk menghantar balik atau menangani masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.
Sambil menzahirkan rasa kecewa dengan cadangan kerajaan pusat untuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini, beliau berkata pada pilihan raya negeri yang lalu, UPKO telah difitnah sebagai tunduk kepada kepimpinan PTI.
“Dan lebih teruk lagi UPKO dituduh sebagai penternak PTI yang menyebabkan pengundi keliru dan hilang kepercayaan kepada kita.
“Ramai rakyat Sabah yang termakan dengan janji-janji manis terutama janji Menteri Dalam Negeri yang telah berjanji untuk menghantar balik “kumpit-kumpit” maupun Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal mereka dengan syarat rakyat mengundi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan parti tempatan Sabah,” katanya.
Madius berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Pelancaran Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan-Cawangan UPKO Bahagian Tuaran secara maya hari ini.
Beliau berkata malang sekali nasib Kerajaan pimpinan parti tempatan Sabah tersebut yang telah dijatuhkan dengan pembohongan, fitnah dan sogokan.
“Kalau Orang Sarawak memberi sokongan penuh kepada Kerajaan pimpinan parti tempatan, Orang Sabah pula dengan senang difitnah dan disogokkan untuk menjatuhkan Kerajaan pimpinan parti tempatan.
“Namun setelah Kerajaan sekarang gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah PATI, Â rakyat Sabah sudah mula hilang kerpecayaan terhadap kerajaan yang ada sekarang. Lebih buruk lagi apabila Menteri Dalam Negeri yang sama baru-baru ini mengumumkan bahwa PATI di Sabah akan diberi Kad Pendatang Asing.
“Sekarang ini rakyat Sabah merasa sangat kecewa dan rasa tertipu oleh janji-janji manis yang kini terbukti palsu,” katanya.
Madius berkata pengalaman daripada episode sejarah itu harus memberi peringatan kepada rakyat Sabah supaya sentiasa berhati-hati menerima janji-janji penyelesaian terhadap isu yang sangat bererti kepada Sabah.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat, dan khususnya pengundi, memerlukan maklumat yang sahih dan tepat untuk membuat keputusan yang bijak.
“Keputusan yang berasaskan kepada pembohongan dan fitnah pastinya akan merugikan rakyat dan negara. Sebab itulah negara kita memerlukan pemimpin yang berwibawa dan berintegriti dan menolak pemimpin yang rasuah, berbohong dan memfitnah orang lain semata-mata kerana minta undi demi kuasa dan pangkat,” katanya.
Sehubungan itu, Madius mengajak rakyat Sabah termasuk di Parlimen Tuaran supaya bangkit dan menolak mereka yang hanya pandai menabur janji-janji manis termasuk isu hantar balik kumpit-kumpit yang ternyata janji palsu dan yang lebih teruk lagi menghadiahkan kad pengenalan warga asing yang memungkinkan warga asing atau PTI boleh tinggal lama di negeri ini.