Oleh Sam
TAMBUNAN: Bersukan dan menyertai apa-apa kejohanan mampu membentuk jati diri, disiplin dan semangat juang yang tinggi di kalangan anak-anak khususnya pelajar sekolah kerana persaingan sebegini adalah platform asas bagi menjana sifat demikian secara semulajadi.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor P. Paut berkata, di arena sukan sebegini, para peserta perlu berdepan dengan cabaran secara realiti dalam menentukan nasib diri dan rakan-rakan yang lain.
“Mereka akan belajar bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah kerana setiap kejayaan itu harus di bayar dengan kesungguhan dan pengorbanan.
Tanpa latihan yang berterusan, tanpa disiplin yang tinggi dan tanpa semangat juang yang jitu, kejayaan tidak mungkin akan tercapai,” jelasnya ketika berucap merasmikan penutupan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tambunan Kali Ke-58 di sini pada Jumaat.
Menurutnya, daerah Tambunan juga terkenal dengan bakat-bakat sukan yang hebat yang pernah mengharumkan nama daerah ini ke persada tanahair.
“Saya yakin, melalui kejohanan seperti ini, kita sedang menyaksikan kelahiran bintang-bintang sukan masa depan yang baharu yang suatu hari nanti, akan membawa nama Sabah dan Malaysia ke pentas yang lebih tinggi.
Kecemerlangan dalam dunia sukan hendaklah seiringan dengan kecemerlangan akademik dan pembentukan akhlak yang baik.
Kita tidak mahu melahirkan atlet yang hanya hebat di gelanggang tetapi lemah dari segi disiplin dan nilai kehidupan.
Kita harus melahirkan generasi yang seimbang, cemerlang dalam pelajaran sambil aktif dalam sukan dan mempunyai sahsiah yang terpuji selaras dengan aspirasi kependidikan Malaysia dan semangat Malaysia Madani itu sendiri,” kata Victor yang juga merupakan Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap warga pendidik yang komited mendidik, membimbing dan membangunkan potensi murid tanpa kenal penat dan lelah selama ini.
“Kerjasama antara pihak sekolah, ibubapa dan para pelajar sekelian, adalah terpuji dalam usaha kita untuk merealisasikan slogan ‘Tambunan Bangkit’ dalam apa juga persaingan dan pertandingan,” jelasnya lagi.
