Pengguna Bijak menggesa peniaga tidak hadkan pembelian telur ayam

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah amat kecewa apabila ada peniaga di Kota Kinabalu menghadkan pembelian telur ayam.

Presidennya, David Chan (gambar) berkata masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran menyebabkan ada antara pengguna di Kota Kinabalu terpaksa membeli barangan keperluan asas berkenaan pada harga mahal.

Katanya ada pengguna yang perlu mendapatkannya di beberapa kedai atau pasar raya berbeza, berikutan penjualan telur ayam dihadkan bagi setiap pembeli.

“Pengguna Bijak ada menerima aduan terdapat pasaraya dan pasar mini di kawasan Kota Kinabalu kekurangan bekalan telur ayam.

“Kedai atau pasar raya sekarang hanya membenarkan pelanggan membeli satu kotak telur sahaja.

“Telur merupakan keperluan yang perlu ada di rumah. Kami dapati harga telur ayam ini semakin mahal sejak awal tahun ini. Ia bukan sahaja mahal tetapi ada masanya sentiasa kehabisan bekalan.

“Contohnya, telur ayam gred B sebelum ini berharga sekitar RM10 tetapi sekarang ia mencecah sehingga RM14. Kenaikan ini sudah tentu memberi kesan kepada pengguna,” kata David lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini bagi mengulas aduan kekurangan bekalan telur ayam dijual.

Jelas David kerajaan telah menetapkan harga siling rm 8.90 sekilogram berkuat kuasa pada 5 Februari lalu.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberitahu kerajaan memberi kelulusan kepada 32 syarikat bagi mengimport ayam bulat sejuk beku dari tiga negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah dihadapi rakyat.

Ronald menjelaskan import ayam dari Thailand, China dan Brazil itu bagaimanapun akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di negara ini pulih.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles