Gerakan NGO Mahu Syarikat konsesi selenggara jalan Telupid-Sandakan

KOTA KINABALU: Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan terhadap jalan raya supaya mengambil tindakan segera menyelenggara jalan yang rosak terutama di Jalan Telupid-Sandakan.

Presidennya Datuk Fadli Fathullah berkata, pihaknya menerima banyak laporan daripada rakyat di negeri ini berhubung jalan raya rosak terutama di jalan Telupid menghala ke Sandakan.

“Jalan rosak ini mengakibatkan kerosakan kepada kenderaan yang melalui jalan itu termasuk ada yang mengalami tayar pecah dan rim kenderaan bengkok.

“Perkara ini amat serius dan telah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakkan segera di mana jalan ini adalah jalan utama yang dilalui pengguna setiap masa,” katanya di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Fadli berkata, pihaknya sudah mendapat penjelasan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di mana kerosakan pada jalan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab oleh tiga syarikat konsesi yang melaksanakan projek Pan Borneo di kawasan itu.

“Menurut Pengarah JKR Sabah, selepas pelancaran Pan Borneo antara Batu 32 hingga ke Telupid membabitkan tiga pakej kontrak Pan Borneo telah ditawarkan kepada tiga syarikat di mana selepas dari tarikh jalan berkenaan diserahkan, jika ada sebarang aduan perlu diajukan terus kepada tiga syarikat konsesi berkenaan.

“Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Bung Moktar Radin,” katanya.

Sementara itu, Fadli turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya membuat laporan polis jika mengalami kerosakan pada kenderaan disebabkan keadaan jalan raya berkenaan untuk tuntutan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan pada kenderaan dinasihatkan untuk membuat laporan polis sebagai tindakan untuk membuat tuntutan ganti rugi terhadap konsesi yang bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum itu, tular mesej di aplikasi WhatsApp dan Facebook berhubung 10 kenderaan tersadai di sepanjang jalan Telupid-Sandakan selepas tayar pecah dan meletup selain rim bengkok disebabkan terlanggar lubang yang dalam di laluan berkenaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles