Mana Janji M63, Sabah Kaya Rakyat Miskin – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengajak rakyat Sabah menyelami isu “ketidakseimbangan pembangunan” di negara ini yang menurutnya tidak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sambil memberi contoh bidang pendidikan, beliau berkata di Sabah, terdapat hanya satu universiti awam berbanding lebih 40 universiti awam di semenanjung termasuk tiga di Perlis.

“Begitu juga dalam soal kemiskinan, 10 daerah yang dikategorikan miskin di negara ini, lapan datang dari Sabah.

“Sabah sebenarnya negeri kaya, kita ada minyak dan gos serta kayu balak, tetapi masih negeri termiskin. Kekayaan banyak ….ke mana kekayaan ini?,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata pembentukan Malaysia 1963 tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa persetujuan rakyat Sabah, Sarawak dan Singapura pada ketika itu.

“Sejarah membuktikan semasa rundingan pembentukan Malaysia, terdapat beberapa pra syarat yang telah dipersetujui.

“Akhirnya permuafakan telah dicapai dan melalui satu tesolusi, British melepaskan Sabah dan Sarawak…jadi apa yang penting ialah menghormati perjanjian itu sebalik mungkin,” katanya.

Beliau berkata Warisan membangkitkan isu itu bukan bertujuan polemik tetapi ” ini soal janji dan hak negeri yang perlu kita pertahankan”.

Mohd Shafie berkata walaupun kerajaan persekutuan mengumumkan “bilion bilion” untuk membangunkan negeri, namun banyak kawasan di Sabah yang dikategorikan mundur atau miskin.

“Kalau kita pergi ke Pitas, banyak rumah orang kampung yang daif dan ada yang tidak ada rumah… ada juga jalan-jalan kampung yang tak elok,” katanya.

Oleh itu, beliau mengajak rakyat negeri ini supaya melihat ke hadapan dan berganding bahu bagi membetulkan keadaan pada pilihan raya umum akan datang demi masa depan Sabah yang lebih baik dalam gagasan Malaysia.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles