JANGAN JADIKAN PENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 SEBAGAI ASAS PEMBERIAN KAD PENGENALAN/KEWARGANEGARAAN

KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), YB Dato’ Sri Dr. Ismail Mohamed Said bahawa KDN akan mempertimbangkan pemberian Kad Pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin Covid-19 di Sabah dan Sarawak yang masih belum memiliki identiti diri amat menggusarkan.

Kenyataan ini sangat merisaukan rakyat khususnya di Sabah kerana seperti diketahui umum, masalah kewarganegaraan di Sabah penuh dengan kontroversi. Berita ini kita terima dalam suasana yang kita baru menyambut hari ulang tahun Pembentukan Malaysia pada 16 September dan rakyat Sabah pula dihidangkan dengan hadiah yang menakutkan dan mengelirukan.

Timbalan Menteri KDN semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Rakyat Sibuti, YB Lukanisman Awang Sauni, memaklumkan bahawa bagi Sarawak KDN telah mengujudkan jawatankuasa khas status warganegara bagi meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah. Sementara itu, Timbalan Menteri KDN memaklumkan bahawa pemberian dokumen kewarganegaraan bagi Negeri Sabah pula dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah, JKPWAS.

Kenyataan ini mengundang banyak persoalan kerana daripada kenyataan Timbalan Menteri KDN ternyata bahawa mereka sedang menjalankan pemberian identiti dan kewarganegaraan. Perkara yang lebih menggusarkan ialah kenyataan bahawa bagi Negeri Sabah perlaksanaannya dibincangkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah yang mana calon-calon penerima dokumen besar kemungkinan dari kalangan warga asing.

Kita menyokong penuh dan tidak membantah usaha-usaha untuk mengenalpasti individu-individu yang tidak berdokumen bagi penduduk asal Sabah atau Sarawak untuk diproses dokumentasi pengenalan diri. Tetapi pemberian kewarganegaraan dan pengenalan diri berasaskan kriteria telah menerima vaksin Covid-19 adalah sangat-sangat tidak wajar, tidak berasas dan membuka ruang salah guna kuasa serta kesilapan.

Isu pendatang asing dan kewarganegaraan telah menjadi isu dominan semasa Pilihanraya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) dan kemenangan dalam pilihanraya tersebut dikaitkan dengan janji-janji penyelesaian masalah kebanjiran pendatang asing. Ke mana perginya janji-janji tersebut? Pas Sementara Sabah (PSS) telah dibantah dengan hebatnya sehingga dibatalkan tetapi pemberian kewarganegaraan yang membuka ruang yang bakal penerimanya termasuk warga asing, adalah lebih teruk daripada PSS dan wajar dibantah habis-habisan.

Pendirian UPKO adalah konsisten bahawa UPKO menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah guna kuasa dan pemberian kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. UPKO percaya dan konsisten bahawa hanya satu sahaja jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang meragukan iaitu dengan menarik balik semua kad pengenalan dan mengeluarkannya semula hanya kepada mereka yang benar-benar layak. Oleh itu UPKO menyeru agar KDN tidak menggunakan penerima vaksin sebagai kriteria pemberian dokumen warganegara dan berfokus kepada peyelesaian dokumentasi kewarganegaraan kepada orang asal Sabah yang bermasalah dokumen pengenalan diri.

Joisin Romut
Ketua Penerangan UPKO

Related Articles

253FansLike

Latest Articles