KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah sekali lagi membangkitkan di Dewan Rakyat isu bekalan elektrik dan air luar bandar serta jalan raya yang menjejaskan ribuan penduduk di kawasannya sehingga kini.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil tindakan segera dan proaktif bagi menangani isu-isu berkenaan.
Ketika perbahasan peringkat jawatankuasa KKDW di Dewan Rakyat semalam, Matbali berkata kesemua isu berkenaan sudah dibangkitkannya berulang kali sejak hampir empat tahun lalu, termasuk ketika membahas Belanjawan 2027 baru-baru ini.
Katanya, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), khususnya projek rawatan air di Kampung Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor-Sungai Tiga di Sipitang, masih belum dilaksanakan.
Menurutnya, ia melibatkan 7,319 penduduk dengan 1,219 rumah di 21 kampung yang masih belum menikmati bekalan air bersih yang sempurna.
“Jawapan bertulis kementerian bertarikh 6 November 2024 menyatakan projek ini dalam peringkat pelantikan perunding utama, tapi sampai sekarang masih tidak dilaksana.
“Kita meminta kementerian menjelaskan apakah status terkini projek BALB ini, berapakah peruntukan yang disediakan, apakah halangan pelaksanaannya dan bilakah penduduk boleh menikmati bekalan air bersih,” katanya.
Mengenai isu elektrik, Matbali berkata di Mukim Malamam sahaja, terdapat enam kampung dengan 2,073 penduduk yang tinggal di 287 rumah masih berhadapan isu bekalan elektrik.
Katanya, beliau pernah membangkitkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan Sistem Solar Hibrid (SSH) yang melibatkan tujuh kampung, iaitu Long Pasia, Long Mio, Ulu Bole, Iburu, Mengayam, Rundulang dan Meligan dengan anggaran 2,875 pengguna.
“Projek ini dilaporkan terbengkalai sejak tahun 2019 dengan sembilan kali Lanjutan Masa (EOT), sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada lampu solar dan generator set sebagai sumber tenaga alternatif.
“Kita menuntut kementerian menyiasat punca ketirisan projek ini yang sudah tujuh tahun terbengkalai kerana sejak dahulu, setiap kali isu ini diangkat jawapan lisan dan bertulis yang diterima langsung tiada menyatakan langkah yang tuntas dan tegas,” katanya.
Mengenai isu jalan raya, Matbali mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, yang memberikan jawapan ketika sesi soal-jawap pada sebelah pagi mengenai status projek naik taraf Jalan Meligan–Long Pasia sepanjang 42 kilometer.
Katanya, penjelasan bahawa projek itu telah dimohon di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi kelegaan dan sinar harapan baharu.
Beliau juga menyambut baik jaminan bahawa projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban–Mendulong–Meligan yang kini sedang melalui proses tender kali ketiga di JKR Sabah.
“Perincian yang dikemukakan berkaitan projek menaik taraf jalan ini serta Jalan Mentulud 1 dan Jalan Mentulud 2 amatlah kita hargai,” katanya.
