Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan Jamin Kelangsungan Rantaian Bekalan Makanan Negara

KAMPUNG RAJA (Pahang): Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee turun padang bagi melihat sendiri operasi Pusat Pemberian Vaksin Industri Bergerak (Mobile PPVIN) di bawah Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) yang bertempat di Dewan Serbaguna Kg. Raja, Cameron Highlands, hari ini.

Advertisements

Turut serta Datuk Seri Hj. Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI dan YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Jabatan Pertanian.
Dr Ronald berkata, Program AiVAC merupakan satu inisiatif Kerajaan melalui MAFI untuk meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan kalangan pesawah, petani, penternak, nelayan, dan pekerja-pekerja serta individu yang terlibat dalam sektor agromakanan yang merupakan salah satu sektor perkhidmatan yang penting (essential services).
Tambah beliau, pelaksanaan AiVAC adalah sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan risiko keberjangkitan dan melindungi kesejahteraan pekerja sektor agromakanan bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara khususnya setelah pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Cameron Highlands merupakan kawasan pengeluaran tanaman terbesar dengan jumlah keseluruhan keluasan bertanam sebanyak 15,106.53 hektar dengan nilai pengeluaran 325,036.16 tan metrik setahun. Melihat kepada kepentingan Cameron Highlands dan Lojing sebagai antara kawasan pengeluar utama bahan makanan negara, Jabatan Pertanian Malaysia telah mengenalpasti tiga (3) lokasi untuk pelaksanaan AiVAC melalui Mobile PPVIN di Cameron Highlands iaitu di Dewan Serbaguna Kg. Raja, Dewan Orang Ramai Lembah Bertam dan Dewan Serbaguna JKKK Tringkap serta satu (1) lokasi di R&R Lojing, Kelantan.
Bagi menjayakan program ini, sebanyak 17,000 bekalan vaksin telah diperuntukkan kepada pekerja industri agromakanan bermula 27 Ogos 2021 di Kg. Raja. Sehingga kini sebanyak 10,000 pekerja telah menerima dos pertama di keempat-empat PPVIN AiVAC. Baki sebanyak 7,000 pekerja akan divaksinkan bermula 17 hingga 27 September 2021 di PPVIN Kg. Raja. Program AiVAC ini dianjurkan oleh Persatuan Gabungan AiVAC Cameron Highlands dengan kerjasama Jabatan Pertanian.
Terdahulu, Dr Ronald turut mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil daripada Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands Committee (SMACH) bagi membincangkan mengenai inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan amalan pertanian yang moden dan lestari di Cameron Highlands ke arah meningkatkan produktiviti pertanian dan pada masa sama memastikan ekosistem dan alam sekitar di kawasan ini sentiasa terpelihara. MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan memantapkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan tahap pengeluaran petani dan pengusaha melalui aplikasi teknologi moden, pengurusan sumber secara mampan dan rantaian bekalan yang lebih cekap.
Dr Ronald juga berkesempatan untuk meninjau projek pertanian yang diusahakan oleh Syarikat Greenheart Farms Sdn. Bhd. di Lojing. Syarikat Greenheart Farms mengeluarkan sayur-sayuran yang berkualiti tinggi bebas racun perosak (pesticide-free) melalui kaedah tanaman intensif dengan memberikan fokus kepada peningkatan produktiviti dan kualiti tanaman melalui pengamalan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management). Syarikat ini telah mempunyai pensijilan myGAP yang bukan sahaja menjamin pengeluaran hasil yang berkualiti, bahkan merupakan syarat utama dalam pengeksportan produk pertanian ke luar negara.
Selaras dengan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan pembukaan beberapa sektor, MAFI sentiasa mengambil semua langkah proaktif yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan termasuk pelaksanaan pemberian vaksin kepada semua pekerja dan pengusaha dalam sektor agromakanan di semua peringkat. Dengan kerjasama semua pihak, MAFI akan terus memastikan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi serta stabil.
MAFI merakamkan penghargaan di atas kerjasama baik oleh Jawatankuasa MAFI Inc. yang dipengerusikan oleh Jabatan Pertanian Negeri melibatkan semua Jabatan dan Agensi di bawah MAFI dan sokongan semua pihak yang berkaitan termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat Persekutuan dan Negeri kerana berjaya melaksanakan inisiatif AiVAC.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles