KOTA KINABALU: Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diyakini mampu “mengeluarkan” Malaysia daripada belenggu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyuarakan keyakinan itu berdasarkan pendekatan Keluarga Malaysia yang mengutamakan kesatuan antara rakyat dan pemimpin pelbagai parti politik di negara ini.
“Kita tidak boleh melihat isu ini (Covid-19 dan ekonomi) darlpada perspektif politik semata-mata.
“Mungkin kita boleh berbeza pendapat atau fahaman politik tetapi dalam usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi….kita kena bersatu sebagai satu keluarga besar dan inilah yang ditekankan oleh Perdana Menteri melalui konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika menjadi tetamu istimewa Program Ulang Suara bertajuk Keluarga Malaysia – Politik Merentasi Ideologi Untuk Kemenangan Negara yang disiarkan secara langsung menerusi laman Umno Sabah Online pada malam Sabtu.
Menurutnya kesungguhan kerajaan baharu persekutuan menjayakan konsep Keluarga Malaysia terbukti apabila Perdana Menteri menyusulinya dengan menjemput pemimpim parti politik pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan untuk “bermuafakat” dalam hal-hal yang berkaitan pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
“Hasilnya satu perjanjian (bagi maksud ini) ditandatangani. Dalam hal ini, pendekatan kita bipartisan.
“Kita tidak lagi melihat tindakan yang diambil daripada perspektif kepartian tetapi melihatnya sebagai masalah negara yang perlu diselesaikan secara bersama,” katanya.
Salleh percaya dengan suhu politik negara yang reda dan sokongan rakyat serta pemimpin politik termasuk parti pembangkang, sasaran kerajaan mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang Oktober ini dapat direalisasikan.
“Apabila ada muafakat, tentu sekali tidak ada lagi pihak yang asyik mencari kelemahan kerajaan termasuk kumpulan anti-vaksin.
“Harus diingat berpegang kepada konsep Keluarga Malaysia tidak bererti kita tidak ada perbezaan pendapat. Apa yang penting kita urus perbezaan ini sebaik mungkin,” katanya.
Salleh berharap semua pihak dapat berhenti bermain politik kerana tumpuan sekarang ialah memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Dalam keadaan sekarang kita bergelut dengan masalah Covid-19, tidak sesuai kita bermain politik 24 jam (sepanjang masa). Sama seperti liga bolasepak Inggeris ada musim bermain dan ada juga “off season”.
“Berpolitik bukan lagi medan untuk mencari “glamour” sebaliknya ia diiringi dengan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara,” kata beliau.
Salleh juga menyambut baik kesediaan kerajaan baharu untuk mendekati golongan belia.
Dalam hal ini, beliau menyokong Undi18, yang membenarkan golongan muda berumur 18 tahun mengambil bahagian dalam arena politik termasuk mengundi, dilaksanakan di negara ini.
“Undi18 sudahpun diluluskan di Parlimen secara bipartisan iaitu disokong oleh pihak pemerintah dan pembangkang…maka bagi saya ia wajarlah dilaksanakan,” katanya.
Salleh berkata jika semuanya berjalan lancar, ramuan Keluarga Malaysia bakal menjadi sandaran terbaik bagi menyelesaikan kemelut berganda Covid-19 dan kemelesan ekonomi.