KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat pembentukan ‘kabinet krisis atau Jemaah Menteri Krisis’ wajar dipertimbangkan terutama di kala negara ini bergelut dengan pandemik Covid-19.
Sambil mengkritik ahli politik yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentuk kabinet biasa, beliau berkata ancaman pandemik itu menuntut pihak pemerintqh menubuhkan kabinet kecil untuk menangani Covid-19 selain mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan yang betul.
Bercakap pada forum politik bertajuk “Umno-Masa Untuk Membuat Pembaharuan” yang disiarkan secara maya semalam, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata selepas kabinet krisis itu selesai menjalankan tugasnya dan jika keadaan mengizinkan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu menerusi pilihan raya umum.
“Saya rasa apa yang diucapkan oleh Yang Di-Pertuan Agong lebih penting, iaitu, kita perlu mengambil pendekatan yang menjurus kepada kerjasama bipartisan.
“Tumpuan sepatutnya kepada usaha menangani Covid-19, tetapi apa yang kita lihat melalui laporan media, mereka berbicara mengenai politik “jangka panjang”.
“Sebenarnya, kabinet ini seharusnya melihat bagaimana menyelesaikan misi untul memerangi wabak dan memulihkan ekonomi negara,” kata beliau.
Sebelum ini, bekas Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk yang kabinet besar terdiri daripada 70 menteri dan timbalan menteri, sementara kabinet Pakatan Harapan dibawah Tun Dr Mahathir Mohamad melantik 55 menteri dan timbalan menteri.
Salleh turut mempersoal kewajaran cadangan ahli politik agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Sarawak
atau Sabah, dan menegaskan cadangan itu tidak akan membantu memperbaiki keadaan Covid-19 di negara ini.
“Kita berbicara tentang bagaimana keluar dari kemelut Covid-19 ini, tetapi apa yang kita lihat di media adalah sebaliknya banyak berpolitik. Rakyat mahu pihak pemerintah melakukan kerja (menangani Covid-19),” kata Salleh.