Esscom Tahan 13 PATI, Dua Tekong Darat Di Tawau

301

TAWAU: Pasukan Keselamatan Kg. Batu Payung yang terdiri daripada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) bersama telah berjaya menggagalkan cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kemudian menyerahkan tangkapan tersebut kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk urusan tangkapan, dekat sini, malam tadi.

Kesemua mereka ditahan ketika menaiki 2 buah kenderaan yang disyaki baru mendarat di pantai batu 12, jalan Kampung Batu Patung.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata sepasukan anggota Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM bersama 6 anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 5 anggota 8 RAMD yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah Pati telah dihubungi oleh seorang Ketua KRT Kampung Batu Payung yang memaklumkan mengenai penahanan 2 buah kenderaan yang disyaki dinaiki oleh 13 pati yang baru mendarat di pantai Batu Payung, batu 12, jalan Kampung Tinagat.

“Setibanya di lokasi kejadian, Tim OCP Daratan ESSCOM telah memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut dan mendapati 7 lelaki dewasa, 5 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kedua-kedua kenderaan tersebut.”

“Pemeriksaan lanjut mendapati Kesemua mereka yang berumur antara 2- 49 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”, katanya.

Ahmad Fuad berkata hasil soal siasat lanjut mendapati Kesemua mereka mengaku baru tiba dari sungai nyamuk, Indonesia menggunakan laluan yang tidak sah dengan menggunakan sebuah bot, manakala kedua-dua pemandu kenderaan tersebut mengaku mengambil penumpang setibanya di lokasi berkenaan.

“Turut ditahan 2 Tekong darat warga tempatan berumur 28 tahun bersama 2 kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut”.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63”, katanya.
Dalam pada itu,

Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan operasi tersebut terutamanya kepada Komuniti Rukun tetangga (KRT) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) Zon Tanjung Batu kerana menjadi ‘mata dan telinga’ serta membantu pasukan keselamatan mengekang kemasukan Pati / Covid-19 ke kampung mereka.

“Saya menyeru agar komuniti pesisir pantai khususnya di pantai timur Sabah agar memainkan peranan mereka masing-masing dengan membantu pasukan keselamatan masyarakat dengan menjadi mata dan telinga serta memberi maklumat mengenai kemasukan PATI untuk tindakan selanjutnya”, katanya.