LAHAD DATU: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama diminta tidak melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin di Sekolah Kebangsaan Tawaiyari.
Pemimpin Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi DUN Segama, Mizma Appehdullah berkata, kemudahan di bawah Program Mobilisasi Vaksinasi Covid-19 itu kesinambungan bagi suntikan vaksin dos pertama dan kedua.
“Saya amat mengakui program vaksinasi terutama kepada masyarakat dalam kawasan terpencil di luar bandar seperti kawasan Segama ini amat sukar dilaksanakan.
“Ia disebabkan oleh beberapa faktor logistik yang menghadkan pergerakan kita. Namun berkat kerjasama dan semangat juang semua yang terlibat dalam membantu kelompok ini tidak tercicir dari menerima vaksin, kita tetap melaksanakan tanggungjawab ini sehabis baik.
“Semua ini adalah bukti komitmen kita di pihak UPPM, juga pentadbiran negeri dan kerajaan bahawa tidak ada yang akan terlepas pandang dalam program vaksinasi Kebangsaan ini dan kita juga akan terus fokus memastikan program ini capai sasaran yang telah kita tetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta oreang ramai yang belum divaksin agar segera merebut peluang tersebut bagi mengelak serta mengekang penularan wabak Covid-19.
“Ini merupakan tanggungjawab kita semua untuk melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada bahaya Covid19.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih sebagai tanda penghargaan saya kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan lancar dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita akan meneruskan program ini di setiap lokaliti agar semua rakyat mendapat manfaat daripadanya,” tambah beliau.
Beliau memberitahu, sehingga kini di kawasan DUN Segama sebanyak 77,671 atau 42.5% telah menjalani suntikan dos pertama, manakala 50,345 (27.5%) lengkap dua dos.
Hadir sama Pegawai Kesihatan kawasan Lahad Datu Amirui Hisham Zainol dan Penolong Pegawai Perubatan Sharil Nizam Samson.