KOTA KINABALU: Varian delta Covid-19 yang kini semakin dominan di negara ini setakat ini belum dikesan di tanah besar Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata tiga anggota sebuah kapal laut TLDM yang dikesan positif varian delta ketika berada di perairan Sabah sekitar dua bulan lepas telahpun sembuh dan kembali ke Lumut.
“Tiada kes Varian Delta dikesan di Sabah setakat ini,” katanya kepada Jesselton Times hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran terbaharu di media sosial, Masidi berkata kes baharu Covid-19 di negeri ini terus bertambah dan hari ini sahaja jumlah kes mencecah angka 1,383.
Katanya terdapat penambahan 136 kes baharu berbanding catatan semalam.
Menurut Masidi, beberapa daerah menampakkan kenaikan kes yang ketara iaitu Sandakan +86, Keningau +36, Kota Belud +18, Kinabatangan +21, Kota Marudu +37, Beluran +23 & Tenom tambahan 17 kes.
“Daerah Kota Kinabalu mencatat kes terbanyak, 326, hampir 24% daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini.
“Tawau catat 168 kes, Sandakan 138, Tuaran 92, Penampang 80, Keningau 79, Kota Belud 66, Beaufort 65, Kinabatangan 49, Kota Marudu 41, Papar 39, Beluran 33, Tenom dan Putatan masing-masing 30 kes,” katanya.
Masidi berkata kontak rapat penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah, yakni 54.2% (749), saringan bergejala 23.3% (322), kes2 kluster 8% (111) & 5.3% (73) melalui saringan bersasar.
Katanya terdapat satu kluster baharu di Kg Timbua, Ranau (48+1) juga dikesan hari ini.
Berikutan itu, Masidi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP.
“Kes yang begitu tinggi yang melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada diantara kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP.
“Ia juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti sosial bersama kawan-kawan agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid. Ada pembawa virus Covid yang tidak menunjukkan sebarang simptom/gejala,” katanya.