KENINGAU: Anggota Dewan Undangan Negeri Liawan Datuk Annuar Ayub Aman menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah menyatakan pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Pendirian UMNO Sabah terhadap Kerajaan Negeri amat penting meskipun berlaku pergolakan politik di peringkat Persekutuan, demi menepati janji serta menghargai mandat yang diamanahkan oleh rakyat Sabah kepada Kerajaan GRS.
“Ini adalah satu tanda bahawa kerajaan GRS cukup memahami dan mengambil berat dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Sabah tatkala kita masih lagi dilanda pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga amat bersetuju dan menyokong sepenuhnya dengan saranan dan seruan daripada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak agar GRS ini dapat diperkasakan menjadi entiti rasmi Sabah sama seperti GPS di Sarawak, lengkap dengan lambang GRS sendiri.
Pemerkasaan GRS sebagai satu entiti juga dilihat mampu memberikan kerajaan negeri Sabah suara yang lebih lantang atau “bargaining power” dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah sepertimana yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963, katanya.
“Kita sedar pemerkasaan GRS ini memerlukan satu “political will” yang kuat dan jitu daripada semua parti di dalam GRS dan inilah masa yang sesuai untuk kita memulakan langkah pertama kita.
“Sokongan padu dan tidak berbelah bagi yang berterusan kepada kerajaan GRS ini juga membuktikan kematangan politik serta kewarasan pemikiran dikalangan pemimpin gabungan yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding hal-hal lain dikala kita berhadapan dengan waktu sukar seperti sekarang,” katanya.