KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu lagi rekod baharu dalam jumlah kes harian Covid-19 iaitu 1,379 hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata data lapangan menunjukkan terdapat kenaikan tinggi kes positif di dua kluster sedia ada iaitu Kluster Gambaron 2 di Telupid dengan 68 kes dan Kluster Pauh di Kinabatangan 60 kes.
“Daerah Kota Kinabalu juga mencatat kenaikan 110 kes berbanding kelmarin, yakni 241 naik ke 351, dimana hampir 66% merupakan kontak rapat. 83 orang atau 24% merupakan hasil saringan mereka yang bergejala.
“Tuaran mencatat pertambahan daripada 143 kepada 152, Tawau dpd 135 kepada 160, Penampang daripada 92 kepada 113, Putatan dpd 23 kepada 64, Telupid dpd 7 kepada 72 (68 dpd kluster Gambaron 2) & Kinabatangan dpd 17 kepada 61 (60 dpd kluster Pauh),” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata penambahan yang tinggi berlaku di kawasan perbandaran kerana jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.
“Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat agar sentiasa mematuhi semua SOP khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan-kegiatan sosial,” katanya.
Beliau berkata saringan kontak rapat menyumbang kes baharu yang terbanyak hari ini iaitu 752 (54.5%), bergejala 265 (19.2%), kluster 172 (12.5%), saringan bersasar 99 (7.2%) & lain-lain 91 (6.6%).
Terdapat juga 17 kes yang melibatkan OKT (orang kena tahan), yakni samada di penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen, katanya.