TOKYO: Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri terus berada pada landasan yang betul dalam usaha memburu pingat Olimpik Tokyo 2020, selepas layak ke akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo.
Penerjun berusia 22 tahun, menunjukkan terjunan yang konsisten dalam kelima-lima terjunan, membolehkan beliau yang bermula pada tempat kesembilan pada terjunan pertama melonjak ke tempat keenam selepas lima terjunan, dengan mengumpulkan 312.50 mata keseluruhan pada peringkat separuh akhir hari ini.
Hanya 12 penerjun terbaik daripada 18, layak ke akhir yang dijadualkan pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada Ahad (1 Ogos).
Juara bertahan Shi Tingmao dari China, sekali lagi menunjukkan keupayaannya untuk mengungguli kedudukan dengan 371.45 mata, diikut rakan senegara Wan Han (346.85 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (341.40 mata).
Tingmao dan Wang Han menjadi pilihan untuk naik ke podium esok, hanya selepas seminggu memenangi pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas (25 Julai).
Ini merupakan kali kedua penyertaan Nur Dhabitah di Olimpik, selepas menduduki tempat kelima acara 3m papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong dan tempat kesembilan dalam 10m platform pada Olimpik Rio 2016.
Nun Dhabitah layak ke separuh akhir selepas menempatkan dirinya dalam kalangan 18 penerjun terbaik pada pusingan awal semalam, dengan menduduki tempat ke-10 dengan 291.60 mata.
Namun demikian rakan sepasukan Ng Yan Yee, gagal layak ke hari ini selepas hanya menduduki tempat ke-20 dengan 251.95 mata.
— BERNAMA