KOTA KINABALU: Prihatin dengan situasi semasa negara dan kesejahteraan rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19, program MAFI Prihatin diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan whole-of-nation dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19.
Hari ini, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar. Pelbagai barangan keperluan harian disumbangkan termasuk beras, minyak, gula dan lain-lain serta pelitup muka (face mask) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM205,400.
Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn. Bhd.
Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani, hari ini. Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, YB Dato’ Che Abdullah bin Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid.
Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak bulan Januari 2021 adalah bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disamping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID- 19 melalui sumbangan bantuan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian, barangan makanan dan sebagainya.
Bantuan melalui MAFI Prihatin juga telah diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.
Sejak 1 Jun 2021 hingga 18 Julai 2021 sahaja, sebanyak 59,816 orang penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin melalui 264 program anjuran MAFI di seluruh negara yang telah melibatkan nilai bantuan sebanyak RM 5.2 juta.
Bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
MAFI akan meneruskan program MAFI Prihatin melalui Jabatan dan Agensi di bawah MAFI serta dengan kerjasama strategik bersama pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang pastinya akan membolehkan lebih ramai lagi golongan yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan.