KOTA KINABALU: Kesediaan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook untuk meletak jawatan Menteri Pengangkutan atas “prinsip parti” wajar dihormati, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Keputusan Loke itu dibuat susulan pengampunan bersyarat yang dikurniakan buat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mustapha menjangka keputusan Loke itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Persekutuan yang akan datang.
“Kita serahkan kepada Perdana Menteri (untuk memutuskannya). Apa yang penting ialah kita menghormati keputusan yang diambil oleh DAP atas prinsip yang dipegang,” katanya.
Mustapha berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kuih Bulan Sempena Hari Malaysia peringkat Parlimen Sepanggar di sini pada malam Sabtu.
Pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selama tiga jam di ibu negara awal hari ini, Loke berkata, beliau akan menjadi satu-satunya pemimpin DAP yang akan berundur demi memastikan kestabilan politik di negara ini.
