Bakat kelahiran Sabah terus menyerlah di pentas badminton remaja kebangsaan

KOTA KINABALU: Persatuan Badminton Sabah (SBA) menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian membanggakan pemain-pemain kelahiran Sabah yang terus menyerlah di pentas badminton remaja kebangsaan.

Terbaharu, Saidatul Saadiah binti Muhammad, yang kini menjalani latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), berjaya muncul juara Perseorangan Wanita Bawah 18 Tahun (WSU18) pada Kejohanan Badminton BAM U18 2nd Leg di Kedah pada Sabtu.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, Saidatul berjaya menewaskan Kay Xin Lee dari BAM dalam pertarungan tiga set untuk meraih pingat emas.

Kejayaan ini turut melengkapkan pencapaian membanggakan pemain-pemain kelahiran Sabah dalam Piala Datuk Lee Chong Wei 2026, yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September 2026.

Dalam kejohanan tersebut, Lim Ke Xuan, yang merupakan pelatih di bawah Akademi Badminton Malaysia (ABM), berjaya meraih pingat emas acara Beregu Wanita Bawah 17 Tahun (WDU17) bersama pasangannya, Liew Yew Ern.

Seorang lagi pemain kelahiran Sabah yang juga merupakan pelatih ABM, Chua Jing Xuan, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pingat gangsa dalam acara Perseorangan Wanita Bawah 17 Tahun (WSU17).

Presiden Persatuan Badminton Sabah,  Datuk Dr. Maijol Mahap, menyambut baik pencapaian tersebut dan melahirkan rasa amat teruja serta gembira dengan perkembangan positif pemain-pemain muda kelahiran Sabah.

“Saya amat teruja dan gembira dengan pencapaian pemain-pemain kelahiran Sabah ini. Kejayaan Saidatul hari ini, khususnya selepas menewaskan Kay Xin Lee dari BAM dalam perlawanan akhir tiga set, merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.”

Beliau berharap momentum positif ini dapat dikekalkan dan menjadi dorongan kepada para pemain untuk terus meningkatkan prestasi serta berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Saya berharap momentum ini dapat diteruskan. Jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Teruskan bekerja keras, tingkatkan disiplin dan prestasi serta berusaha mencapai peringkat yang lebih tinggi. Kita mahu melihat lebih ramai pemain kelahiran Sabah mampu menembusi kelompok terbaik negara dan seterusnya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.” katanya.

SBA akan terus komited dalam usaha memperkukuhkan pembangunan badminton negeri serta menyokong laluan pembangunan pemain-pemain muda Sabah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SBA sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Saidatul Saadiah binti Muhammad, Lim Ke Xuan dan Chua Jing Xuan, serta para jurulatih, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan mereka.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles