Bung Menang Tanpa Tanding Presiden SAFA

Oleh Jaafar Abdul Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU–Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) dipilih sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang baharu pada mesyuarat agung luar biasa persatuan itu yang diadakan secara maya, pagi ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya telah dilantik Majlis Tertinggi SAFA menjadi pemangku presiden pada Disember tahun lepas.

Bung Moktar menerima 23 pencalonan dari SAFA daerah di seluruh negeri bagi menerajui kepimpinan badan bolasepak itu.

Dua jawatan naib presiden yang kosong turut dimenangi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir dan Dato Dr Jelani Hamdan.

Jawatan naib presiden itu mengalami kekosongan berikutan pengunduran Benedict Asmat yang kemudian dilantik sebagai setiausaha agung dan Ismail Ayub.

Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata semua perwakilan SAFA daerah telah mengambil bahagian dalam mesyuarat agung berkenaan yang dijalankan secara maya pagi ini.

Katanya, dengan pemilihan Bung Moktar untuk menerajui kepimpinan SAFA dan pengisian dua jawatan naib presiden membolehkan persatuan itu dapat berfungsi dengan lebih berkesan terutama dalam memacu hala tuju memajukan bolasepak di negeri ini.

Bung Moktar ketika ditemui wartawan di sini, berkata, pihaknya mahu kepimpinan SAFA bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha memajukan sukan bolasepak di Sabah.

“Ini yang kita mahu lakukan terutama mereka yang diberi mandat supaya badan bolasepak ini dapat bergerak mencapai hala tuju pembangunan sebagaimana kita semua harapkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa program pembangunan bolasepak akan diteruskan terutama dengan mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam pasukan.

Bung Moktar juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan yang memberi kerjasama baik dan sokongan padu kepadanya untuk menerajui kepimpinan persatuan itu.

Pada akhir tahun lepas, ketika diberi mandat menjadi pemangku presiden SAFA, Bung Moktar telah melakukan perubahan drastik untuk merombak badan bolasepak itu termasuk memperkasakan Sabah FC yang baru ditubuhkan pada masa itu.

Katanya, langkah itu diambil untuk membolehkan SAFA mampu bergerak untuk menjayakan program-program pembangunan membabitkan sukan itu mulai sekarang.

Selain itu, ia juga membolehkan Sabah FC sebagai sebuah kelab yang baharu mampu berdikari dan bersaing dengan kelab-kelab bolasepak lain di negara ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles