KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe mencadangkan agar kerajaan negeri memulakan program vaksinasi di negeri ini dengan menggunakan wang kutipan cukai Petronas.
Naib Presiden UPKO dan Ketua Pemuda DAP Sabah dalam kenyataan bersama hari ini berkata, ini penting agar rakyat Sabah tidak tercicir daripada senarai penerima vaksin.
Mereka mendakwa, semasa pendaftaran vaksin AstraZeneca kelmarin (26 Mei), Sabah tercicir daripada senarai penerima.
“Bagaimana pimpinan Sabah yang Ketua Menterinya (Datuk Hajiji Haji Noor) datang daripada parti yang sama dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membiarkan Sabah tercicir?
“Kenapa Sabah tidak berusaha memulakan perolehan vaksin sendiri dan memulakan program imunisasi sendiri bagi melengkapkan usaha yang dibuat di peringkat persekutuan?
“Bukankah kita sudah diberi jaminan sebelum ini bahawa lebih RM 1 bilion boleh diperolehi daripada Petronas di bawah Enakman Cukai Jualan Produk Petroleum yang kita kenakan sejak tahun 2019? Kenapa tidak gunakan sebahagian duit ini untuk program vaksinasi rakyat Sabah sendiri?,” katanya.
Ewon berkata, masih ramai rakyat di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar belum mendaftar untuk program imunisasi vaksin kerana mereka tidak mengetahui atau kurang memahami cara mendaftar secara online.
“Rakyat seolah-olah dipersalahkan kerana tidak mendaftar untuk program imunisasi vaksin. Tetapi adakah Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk meyakinkan rakyat mengambil bahagian dalam program imunisasi ini?
“Pernahkah pihak Kerajaan memikirkan dengan empati situasi sebenar di kampung-kampung, terutama di luar bandar limitasi yang mereka hadapi untuk mendaftar program ini?,” katanya.
Ewon menghargai pengorbanan pasukan kesihatan memberikan rawatan, saringan, dokumentasi dan semua urustadbir berkaitan pandemik Covid-19 di negeri dan berharap semua agensi serta jabatan kerajaan turun padang memberikan penerangan mengenai program vaksinasi kepada masyarakat.
“Saya juga berharap agar pelaksanaan SOP Covid-19 tidak ‘double standard’. Ada berlaku di mana rakyat biasa menerima hukuman sementara golongan elit termasuk anggota pentadbiran kerajaan yang melakukan perlanggaran SOP yang sama boleh terlepas daripada hukuman,” katanya.