KUALA PENYU: Panggilan “amai” kini menjadi sebutan ramai di Kuala Penyu bahkan semakin popular merujuk kepada wakil rakyatnya, Datuk Limus Jury yang lama tidak kelihatan melawat daerah berkenaan sedangkan mereka menghadapi ketiadaan air bersih sejak beberapa bulan lepas.
Amai itu yang ertinya pakcik merupakan panggilan mesra yang diberikan penduduk Kuala Penyu kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu susulan mereka mahu wakil rakyat mereka tampil membantu khususnya berhubung masalah ketiadaan air bersih di Kuala Penyu dan Menumbok.
Aktivitis masyarakat, Datuk Murshidi Ghaffar dalam hantarannya di facebook dua hari lepas menyuarakan keluhan penduduk yang mengharapkan Adun berkenaan itu berusaha untuk turun ke kawasan berusaha menangani masalah yang dihadapi rakyat.
“Lama si amai (Limus) menghilang diri dan dia sepatutnya melawat kawasan dan membantu menyelesaikan masalah ketiadaan bersih yang dihadapi penduduk,” katanya.
Dalam hantaran terbarunya di facebook semalam, Murshidi memaparkan kelibat wakil rakyat itu tiba-tiba muncul melawat kawasan dilanda banjir kilat di Kuala Penyu.
“Ada sudah si amai muncul, tiba-tiba ni. Hairan dia tengok banyak baju berjemur basah kena banjir,” katanya dalam hantaran tersebut dengan nada gurauan.
Ramai nitizen memberi komen jenaka terhadap gambar tersebut yang memperlihatkan wakil rakyat meninjau keadaan pakaian penduduk berlambak dijemur akibat dilanda banjir.
Seorang nitizen Haziq Rafid dalam komennya dengan nada menyindir, “dia ghaib sebab kuarantin empat bulan kali Datuk”.
Roy Ismail pula mencela, “dia sudah terpikir mahu bisnes bundle”.
Manakaa seorang pemimpin tempatan, Awang Damit Jion secara berseloroh memberi komen, dia mahu sumbang mesin pengering kain di kawasan banjir kali tuk (Datuk)”.
“Syukurlah ada juga melawat, kasih tengok muka, faham-fahamlah musim Covid 19 ni”, katanya.
Seorang lagi nitizen yang menggelar dirinya Kurnia Cafe Junaidinia membuat nitizen lain tersenyum dengan komen selambanya, “rupanya ini pula si amai,”
Menurut Murshidi, kehilangan Pembantu Menteri Kerja Raya itu sejak masalah ketiadaan air bersih berlaku di Kuala Penyu dan Menumbok beberapa bulan lalau merisaukan ramai penduduk kerana tiada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.
Keadaan itu diburukkan lagi ketika umat Islam merayakan sambutan perayaan hari raya aidilfitri baru-baru ini dengan tidak mempunyai bekalan air mencukupi.
“Muka wakil rakyat langsung tidak kelihatan dan secara tiba-tiba pula muncul ketika rakyat ditimpa bencana banjir. Air memasuki dan menenggalami rumah mereka namun air paip tetap juga kering,” dakwanya.
Banyak barang-barang rumah mengalami kerosakan dan dihanyut banjir malah pakaian penduduk berlambak ditenggalami air terpaksa dijemur di kawasan lapang.
Wakil rakyat itu bersama beberapa pegawai kerajaan hanya mampu melihat keadaan itu dan mangsa-mangsa banjir terus dilanda kegelisahan dan tidak menyatakan apa-apa.