KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri Sabah membenarkan Non-Convention Ship (NCS) atau kumpit Indonesia dan Filipina memasuki perairan ESSZONE serta semua kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZONE ke Filipina dan Indonesia bagi aktiviti ‘barter trade’ dan ‘transhipment’ bermula 5 Mac ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Sabah.
Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan secara berfasa kerana pembukaannya secara mendadak dikhuatiri akan memberikan kesan kepada keselamatan di ESSZONE selain turut dikhuatiri boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan rakyat Sabah jika tidak dilaksanakan dengan baik.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, keputusan ini bermakna pihak kerajaan mahu merancakkan semula sektor ekonomi di Sabah memandangkan industri ‘Barter Trade’ merupakan antara penyumbang terbesar aktiviti perekonomian sejak sekian lama khasnya di kawasan ESSZONE.
“Kita melihat keputusan ini sebagai suatu yang bermanfaat tetapi mempunyai risiko tersendiri.
“Jika ia tidak dilaksanakan sepertimana yang dirancang, Sabah akan terdedah kepada isu keselamatan yang lebih besar selain risiko penularan masuk pendemik Covid-19 dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zaki menyarankan agar semua jeti-jeti haram di perairan ESSZONE ditutup dan aktiviti ‘Barter Trade’ dilaksanakan di lokasi yang sah dengan pengawalan yang ketat serta pematuhan SOP.
Beliau turut mencadangkan supaya ‘Sea Check Point’ (SCP) segera diwujudkan di perairan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau supaya ‘Omni Present’ pihak berkuasa akan lebih dirasai.
“Ia juga untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan barang kawalan maupun penyusupan masuk barang larangan seperti dadah dan senjata api ke Sabah,” katanya.