KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyeru semua pihak termasuk parti pembangkang supaya mengetepi isu politik bagi memberi laluan kepada penyelesaian masalah pandemik Covid-19.
Beliau berkata ini penting bagi memberi peluang kepada kerajaan bagi melaksanakan tindakan-tindakan penting untuk menangani Covid-19.
“Rakyat mahukan ekonomi dan kesihatan rakyat seiring bangkit dan pulih. Rakyat juga jemu sesama pemimpin berpolitiking kerana apa yang penting adalah hasil dan bantuan berterusan untuk menyelamatkan mereka,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Salleh berkata bagi mencapai tujuan itu, semua pihak perlu cari titik persamaan dan ketepikan perbezaan seketika.
“Fokus perlu diberikan untuk memerangi covid-19. Bercutilah daripada politik demi menyelamatkan ekonomi.
“Namun setiap tindakan perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati dan bukan hanya untuk mencipta nama serta berlumba-lumba menjadi juara,” katanya.
Katanya Malaysia terutama barisan hadapan kini sedang bergelut untuk memastikan virus Covid-19 yang menggemparkan seluruh dunia dapat diselesaikan.
“Sinar baharu mula tiba selepas vaksin Pfizer-BioNTech sampai daharapan rakyat kembali bersama dalam usaha mengakhiri pandemik itu,” katanya.
Salleh berkata dalam tempoh setahun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan betapa seriusnya langkah kerajaan untuk menangani Covid-19.
“Ia bukan mudah untuk dilaksanakan dalam suasana politik yang tidak stabil.
Bagaimanapun, saya perhatikan beliau mampu menguruskan perbezaan dengan tenang dan fokus,” katanya.
Beliau berkata walaupun berhadapan serangan dan kritikan dari pelbagai sudut dari tokoh-tokoh, Perdana Menteri tetap tenang menghadapinya.
“Sebagai seorang berpegang pada prinsip demokrasi, beliau juga memberi komitmen sepenuh hati untuk menyerahkan pada rakyat pada Pilihan Raya Umum kelak,” katanya.
Salleh yakin proses demokrasi akan terserlah selepas ancaman Covid-19 terkawal.