KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto yakin kehadiran kesemua tonggak import baharu yang dijangka tiba di Kota Kinabalu sebelum sepak mula Liga Super Malaysia 2021 bakal melengkapkan pasukan yang bergelar sang badak ini.
Pemain kebangsaan Gabon, Levy Clement Madinda, 28, dan ketua pasukan Liberia, Sam Johnson, 28, serta Risto Mitrevski, 29, dari Macedonia Utara menjadi pilhan pengurusan pasukan memperkukuh Sabah FC musim ini.
Kurniawan melahirkan keyakinan empat pemain import baru ini sesuai dengan perancangan permainan Sabah FC sekaligus berharap mereka dapat bermain dengan baik di posisi mereka.
“Kita harap mereka dalam kondisi yang terbaik dan ‘fit’ kerana mereka agak lambat datang ke sini (Sabah) selain mengharapkan mereka cepat menyesuaikan diri dan mendapat ‘chemistry’ dengan pemain-pemain lain.”
“Sabah FC tetap yakin dan optimis dengan kemampuan kesemua pemain import ini membantu serta menjadikan pasukan Sabah FC musim ini lebih kuat. Kita memohon doa daripada penyokong tegar Sabah FC agar terus bersama-sama menyokong pasukan kita nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Kurniawan berkata, setakat ini Sabah FC telah pun memiliki Saddil Ramdani, pemain kebangsaan Indonesia, Levy Madinda dari Gabon, Risto Mitrevski dari Macedonia dan Sam Johnson ketua pasukan Liberia manakala Park Taesu dari Korea Selatan kekal bermain untuk musim ketiga bersama Sabah FC.
Madinda, pemain tengah skuad kebangsaan Gabon itu banyak mengukir nama di Eropah menerusi kelab Sepanyol yang bermain dalam La Liga dan kini tiba masanya Madinda melakukan perjalanan jauh ke Asia Tengara untuk bermain bersama Sabah FC.Sam Johnson, penyerang berusia 28 tahun yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS), Amerika Syarikat musim lalu turut mempunyai pengalaman beraksi di beberapa negara Eropah seperti Sweden dan Norway selain saingan Chinese Super League (CSL).
Di peringkat antarabangsa, Johnson mula beraksi bersama skuad bawah 23 tahun Liberia pada 2011 seterusnya skuad kebangsaan Liberia sebanyak 16 penampilan bermula 2015 sehingga sekarang dan berjaya menjaringkan 3 gol untuk Liberia.
Mitrevski, 30, seorang pemain pertahanan, memulakan karier bola sepak sebagai pemain kelab di negaranya FK Rabotnichki ketika berumur 13 hingga 18 tahun sebelum diserap dalam pasukan utama kelab berkenaan pada 2009 hingga 2011.
Pemain tinggi lampai (1.87 meter) itu melebarkan sayapnya dengan beralih ke pasukan Metalburg Skopje yang beraksi dalam liga tertinggi di Macedonia Utara sebelum mewakili beberapa pasukan di Eropah lain seperti di Bosnia, Crotia, Cyprus dan Armenia antara 2014 hingga 2020.
Mengulas peranan Park, “Park akan tetap bermain di bahagian “centre back” dan dengan adanya Risto sudah tentu akan menambah keyakinan kepada Sabah FC. Kita mempunyai banyak pilihan di posisi belakang termasuk ada Rawilson, Risto dan Park,” katanya.
Sabah FC kini berada di Kuala Lumpur sejak 20 Februari hingga 24 Februari ini untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Sarawak United dan Kuala Lumpur United FC bagi melihat keserasian dan kecergasan para pemain di samping menilai prestasi sebenar mereka walaupun dalam perlawanan persahabatan ini.
“Meskipun Sabah FC hanya membawa seorang pemain import (Park) namun saya yakin pemain-pemain sedia dapat memahami “game plan” yang diterapkan dalam perlawanan persahabatan itu nanti sekaligus menjadi ruang utama untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.