Kerajaan dijangka belanja RM150 juta baiki jalan raya rosak di Sabah

RANAU: Kerajaan dijangka membelanjakan sekitar RM150 juta bagi memperbaiki jalan raya serta jambatan yang rosak akibat hujan lebat yang melanda negeri ini secara berterusan sekitar lima hari yang lepas.

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pada mulanya lebih 100 jalan raya di seluruh negeri tidak dapat dilalui namun tindakan pantas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membina jalan sementara telah membantu mengurangkan impak kerosakan itu.

Kawasan terbabit di Kundasang Ranau
Kawasan tanah runtuh terbabit di Kundasang Ranau

“Alhamdulillah, jumlah jalan yang kini tidak boleh dilalui hanya tinggal 17, dan jika cuaca mengizinkan kita harap jalan-jalan tersebut dapat diperbaiki dengan segera,” katanya.

Bung berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerosakan akibat tanah runtuh di kawasan letak kereta Taman Negara Kinabalu, Kundasang hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan  dan Alam Sekitar  negeri Datuk Jafry Airifin, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Jasmin Juplin Pengarah JKR Ali Ahmad Hamid dan Pengarah Jabatan Air Sabah Edward Lingkapu.

Bung berkata kerajaan Sabah sudah menyediakan peruntukan antara RM30 dan RM40 juta bagi membaiki kawasan tempat letak kereta yang runtuh itu.   

Bagaimanapun, beliau berkata pihak JKR, geologi dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri akan bekerjasama untuk melakukan kajian terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek pembaikan semula jalan tersebut.

“Kalau boleh kita percebatkan pelaksanaan projek pembaikan ini memandangkan ia penting bukan sahaja kepada orang tempatan tetapi juga kepada pelancong.

“Ia juga bergantung kepada keadaan cuaca. Kita tidak mahu bikin hari ini esok runtuh dan bikin lagi,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles