Dilema pelaksanaan PdPR — Dr Lee

Topik Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekali lagi menjadi hangat bila sesi persekolahan baharu tahun 2021 bermula pada 20 Januari lalu. 

Advertisements

Di kala abang-abang dan kakak-kakak mereka di Universiti Awam (UA) memasuki minggu terakhir pengajian Semester 1, Sesi 2020/2021, adik-adik yang ke sekolah termasuk ibu bapa atau penjaga kelihatan seolah-olah porak-peranda dan terumbang-ambing. 

Guru-guru yang mengajar secara online sudah pastinya perlu lebih berwaspada dan bersiap sedia kerana kemungkinan besar ibu bapa atau penjaga murid-murid berada di sisi mereka bertindak sebagai ‘guru interim’ bersama-sama membantu proses PdPR tersebut. 

Pelbagai gelagat dan soalan cepumas baik yang serius mahupun lucu sudah pun tular dalam media sosial.

Jikalau dahulunya isu-isu kesiapsiagaan anak-anak ke sekolah adalah seperti warna kasut apa, berapa pasang baju ingin dibeli, dalam konteks pembelajaran yang sudah beralih daripada fizikal yakni di sekolah ke alam maya menyaksikan banyak juga kemusykilan-kemusykilannya yang berpunca daripada kebaruan yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa dan pelajar. 

Persoalan remeh seperti perlukah pelajar berpakaian pakaian seragam sekolah sewaktu kelas atas talian atau tidak, bagaimana menghantar kerja rumah, sehinggalah ke seribu satu persoalan yang lebih berat termasuklah soal peperiksaan. 

Andai kata kita mengambilkira paradigma digital native dan digital immigrant yang diperkenalkan oleh Prensky (2001), anak-anak muda seharusnya tidak punyai banyak masalah mempelajari sesuatu yang baharu dengan teknologi sebab mereka adalah ‘masyarakat asal’ yang dilahirkan dalam persekitaran kaya media yang sudah mempunyai semua teknologi telekomunikasi yang ada hari ini. 

Golongan ibu bapa yang dilabel sebagai imigran kerana dilahirkan dalam set up persekitaran yang belum ada telefon pintar, media sosial dan segala aplikasi online seperti kamus dan games yang diramal akan bergelut mengadaptasi kaedah pembelajaran yang baharu ini.  

Proses penghijrahan tersebut belum tentu berjalan dengan sempurna disebabkan sindrom yang aneh dikenali fobia terhadap teknologi. 

Sesetengah ibu bapa yang bekerja dari rumah (WFH) sudah pastinya mempermudahkan proses PdPR anak-anak kerana adakalanya isu teknikal yang kecil seperti pemindahan fail dari aplikasi Apps kepada iOS mahupun mencetak nota dengan pencetak boleh menjadi penghalang yang menyumbang kepada tekanan (stress) dan putus asa dalam belajar. 

Nasib pelajar-pelajar yang terpaksa ditinggalkan bersendirian di rumah oleh kedua ibu bapa atau penjaga yang keluar mencari rezeki sudah pastinya penuh dengan pancaroba. 

Banyak dapatan kajian telah membuktikan faktor demografi seperti tahap pendidikan dan pekerjaan ibu bapa mempunyai hubungan signifikan dengan tahap celik IT, literasi secara umum dan kepemilikan gajet yang berkait langsung dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas talian.

Golongan yang tinggal di kawasan luar bandar apatah lagi pendalaman sudah pastinya tidak senasib dengan di bandar. 

Cerita panjat pokok dan bina sulap (pondok perteduhan sementara) di hutan untuk capaian internet di Sabah pernah tular pada tahun lalu (2020) melonjakkan nama Sabah di peta dunia atas sebab yang salah.    

Hakikat rata-rata dalam sesebuah keluarga ada isi rumah yang mempunyai telefon pintar sedikit-sebanyak membantu budak-budak sekolah menghadiri kelas tetapi masalah liputan internet merupakan suatu isu besar di mana-mana termasuk bandar.        

Jadi, anda boleh bayangkan polemik ini untuk kawasan pinggir bandar, luar bandar apatah lagi pendalaman Sabah. 

Sedikit kelegaan buat semua bila soal kemiskinan digital ini mulai mendapat perhatian semenjak pelaksanaan PdPR susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi jangan lupa setiap detik rakyat mengharapkan kerajaan akan menyegerakan langkah-langkah yang sewajarnya.

Pembinaan menara-menara telekomunikasi di Sabah harus disegerakan. 
Memang benar kerajaan juga tidak berputih mata berdasarkan usaha-usaha menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutamanya seperti pemberian komputer riba kepada golongan tersasar, data percuma untuk pelajar, dan inisiatif oleh guru-guru menghantar nota pelajaran kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses internet. 

Semua kementerian yang terlibat harus mempergiatkan usaha masing-masing kerana usaha memerangi pandemic Covid19 ini memakan masa yang agak panjang lagi di samping lebih ramai individu perseorang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil berganding bahu membantu. 

Jika peringkat UA, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah digalakkan masuk ke kampus untuk meneruskan pengajian mereka, mungkin perlu dipertimbangkan pendekatan atau alternatif yang lebih fleksibel juga perlu dipertimbangkan untuk sekolah-sekolah. 

Kelebihan pelajar dalam kampus tidak perlu risau pasal masalah capaian internet, boleh fokus pada pelajaran dan ada kemudahan seperti makmal komputer yang boleh digunapakai untuk membuat tugasan (assignment). 

Sudah pastinya semua pihak hari bersama-sama mencurah idea untuk menambahbaik PdP atas talian untuk faedah bersama. #kitajagakita

Related Articles

253FansLike

Latest Articles