PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun sebagai usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian serta langkah-langkah lain dalam membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak.
Mesyuarat Jawatankuasa Bersama tersebut yang turut dihadiri oleh wakil-wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan wakil pemain-pemain industri termasuk the Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA) pada 10 November 2021.
MAFI dan KPDNHEP memandang serius isu kenaikan harga baja dan racun yang berlaku semenjak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia. Baja dan racun makhluk perosak merupakan input pertanian dan kompenan penting dalam pengeluaran hasil tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan oleh penduduk Malaysia. Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah yang diimport daripada negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium).
Berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan dan pemain industri, antara punca yang telah dikenalpasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran. Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk tersebut.
Beberapa cadangan penyelesaian telah dikenalpasti dan diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 November 2021 supaya isu ini dapat ditangani secara menyeluruh dan holistik di samping membantu golongan yang terjejas.
MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
Kenyataan Bersama
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee Menteri Pertanian dan Industri
Makanan
Dato Sri Alexander Nanta Linggi Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna